am@hmetro.com.my
Melaka: Seorang penghantar makanan direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini, susulan tular video memaparkan tindakannya yang didakwa memukul serta melanggar kepala isterinya menggunakan motosikal, baru-baru ini.
Perintah reman bermula 20 Mac hingga 23 Mac ini terhadap suspek berusia 22 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Uthman Abd Ghani.
Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Sarjan Siti Norhayati Zainan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, serta Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Media sebelum ini melaporkan polis giat mengesan suspek selepas ibu mangsa berusia 51 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Tengkera pada Isnin lalu mengenai kejadian menimpa anak perempuannya yang tular berlaku di hadapan sebuah premis hiburan keluarga di Kota Shahbandar Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, susulan laporan polis itu, pasukan anggota dari Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), IPK Melaka berjaya mengesan serta menahan suspek pada pagi semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




