Kuala Lumpur: Peningkatan harga petrol tanpa subsidi baru-baru ini di Malaysia mencerminkan peningkatan harga minyak global, kata seorang penganalisis.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan berkata, peningkatan harga minyak global daripada US$60-US$65 setong sebelum ini kepada sekitar US$110 pada masa ini telah menyebabkan pelarasan harga tidak dapat dielakkan.
Beliau berkata, walaupun orang ramai secara umum memahami bahawa harga petrol telah meningkat disebabkan oleh harga minyak global yang lebih tinggi, masih terdapat persepsi bahawa harga tidak seharusnya naik kerana Malaysia merupakan negara pengeluar minyak.
“Walaupun Malaysia mengeksport minyak mentah dan memperoleh pendapatan, ia masih mengimport petroleum bertapis untuk kegunaan domestik, menjadikannya terdedah kepada pergerakan harga global,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, langkah subsidi bersasar seperti harga petrol RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) membantu mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api.
“Inisiatif seperti BUDI95 boleh mengawal kos logistik untuk rakyat biasa. Harga RM1.99 pada asasnya adalah untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau merujuk kepada harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95 yang kekal pada RM1.99 seliter meskipun harga minyak mentah global melebihi US$100 setong susulan konflik di Asia Barat.
Pada masa sama, Azmi memberi amaran bahawa bil subsidi semasa, dianggarkan RM3.2 bilion setiap bulan, mungkin tidak mampan dalam jangka masa panjang.
“Kita tidak boleh menikmati RM1.99 selama-lamanya dengan peningkatan harga minyak di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata Malaysia kekal dalam kedudukan kukuh berbanding sesetengah negara dan menyatakan bahawa ketidakcekapan di negara-negara pengeluar minyak lain telah menjejaskan sistem bekalan bahan api mereka.
Sementara itu, Azmi berkata perbezaan harga bahan api antara beberapa wilyah adalah berdasarkan corak penggunaan, diesel kekal pada harga subsidi di Sabah dan Sarawak disebabkan penggunaannya yang meluas.
“Kerajaan masih mengekalkan harga diesel lebih rendah di Sabah dan Sarawak kerana RON95 di semenanjung dikekalkan pada RM1.99. Diesel digunakan secara meluas di dua negeri itu bukan sahaja untuk tujuan logistik tetapi juga oleh sektor swasta dan awam.
“Itulah sebabnya diesel dijual pada harga subsidi di Sabah dan Sarawak. Sebaliknya, bahan api yang digunakan secara meluas di Semenanjung adalah petrol,” katanya.
Azmi menekankan bahawa sebarang kenaikan harga diesel di Sabah dan Sarawak boleh memberi impak yang lebih teruk terhadap kos sara hidup.
“Jika terdapat kenaikan daripada RM2.15 di Sabah, walaupun sebanyak 10 atau 20 sen, akan ada impak terhadap kos sara hidup kerana penggunaan diesel yang meluas dalam semua segmen kehidupan di Sabah dan Sarawak.
“Kesannya akan menjadi teruk di dua negeri itu dari segi kos sara hidup dan perbelanjaan yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam persekitaran peningkatan harga minyak global disebabkan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan pada 12 Mac lepas kenaikan harga bahan api tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia.
Dari 12 Mac hingga 18 Mac, harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi telah diselaraskan dengan RON97 meningkat sebanyak 60 sen kepada RM3.85 seliter dan RON95 tanpa subsidi menokok sebanyak 60 sen kepada RM3.27 seliter, manakala diesel menambah sebanyak 80 sen kepada RM3.92 seliter.
Dalam semakan terbaharu berkuat kuasa 19 Mac hingga 25 Mac, RON97 terus melonjak kepada RM4.55 seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia naik kepada RM4.72 seliter, RON95 tanpa subsidi kekal tidak berubah pada RM3.27 seliter.
Sementara itu, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal tidak berubah pada RM2.15 seliter.
© New Straits Times Press (M) Bhd




