redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: “Buat masa ini saya hanya ada amanah dan tanggungjawab, duit pun tak berapa ada kerana kerja pun kurang dalam Ramadan.
“Sedih juga bila tak dapat belikan baju raya baharu buat anak dan isteri tapi saya bersyukur kerana emak masih ada di depan mata serta dapat bersalaman dengan dia nanti walaupun keadaannya begitu,” kata Wan Khairu Affendy Wan Sulong.
Wan Khairu Affendy, 43, kini menjaga ibunya Siah Jusoh, 67, yang disahkan menghidap dementia (masalah ingatan) tahap dua sejak lima tahun lalu.
Buat masa ini, bapa tiga anak itu tiada pekerjaan tetap jadi mencari rezeki dengan mengambil upah membuang sampah jirannya di Kampung Pasir Panjang dan Tok Jembal, dekat sini.
Bagaimanapun, upah diterima tidak menentu jadi sambutan Aidilfitri diraikan dengan ala kadar saja kerana malah jika ada wang sekalipun, lelaki itu akan mengutamakan ibu, isteri juga anaknya.
Berkongsi kisahnya, Wan Khairu Affendy berkata, ibunya masih sama dan berkelakuan seperti anak kecil sejak menghidap dementia.
“Selain beri makan, rutin harian saya adalah bersembang dengan emak yang gemar ‘bermain’ periuk dapur dan bekas makanan.
“Bilik emak pun sudah serupa dapur kerana di situlah tempat dia bermain jika tidak keluar atau pergi ke dalam semak…. sampai satu tahap saya terpaksa kunci rumah kerana bimbang dia merayap di luar dan takut hilang di depan mata.
“Tapi saya tak berseorangan kerana isteri dan anak pun turut sama membantu tengokkan emak. Emak masih ada temujanji di hospital dengan pakar psikiatri dan setiap hari kena makan ubat tidur sebelum jam 8 malam,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Wan Khairu Affendy, harapan untuk ibunya pulih mungkin tipis kerana faktor usia.
Wan Khairu Affendi berkata, hari raya tahun ini juga ibarat tidak bermakna baginya kerana kesempitan hidup dialami.
“Orang lain sibuk cari baju raya tapi saya sibuk fikirkan makan minum , susu anak bongsu (Wan Muhammad Syawal Wan Mohd Khairu Affendy, 11 bulan) yang baru menjalani pembedahan usus bulan lalu.
“Bukan hanya baju raya malah kuih pun tak beli jadi mungkin hanya dapat jamah jika beraya ke rumah orang,” katanya.
Di sebalik ujian berat ditanggung, Wan Khairu Affendy bersama adik-beradik lain akan terus menjaga dan memberi perhatian kepada ibunya dengan penuh kasih sayang.
“Emak perlu diberi perhatian setiap masa jadi saya sekeluarga kena bergilir-gilir menjaganya.
“Tiada pilihan melainkan bersabar walaupun pahit untuk ditelan kerana emak pun tak minta dirinya jadi begitu.
“Cuma bila mengenangkan hari raya, rindu nak menjamah masakan emak tapi sekarang semuanya tinggal kenangan. Apa pun, semoga Allah SWT panjangkan umur emak kerana belum puas lagi nak berbakti untuknya.
“Al-Fatihah (sedekahkan) buat arwah ayah dan untuk ayah…saya berjanji akan jaga emak sampai akhir hayat,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat meringankan beban boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 163028506563 atas nama Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong.
© New Straits Times Press (M) Bhd




