Kampung Nam Dam terang-benderang disinari 800 pelita raya

Kampung Nam Dam terang-benderang disinari 800 pelita raya

PENDANG: Kampung Nam Dam yang terletak kira-kira sejam dari Bandar Alor Setar terus bercahaya menjelang Hari Raya Aidilfitri apabila sekumpulan anak muda kampung itu mengekalkan tradisi memasang lebih 800 pelita.

Inisiatif dilakukan setiap tahun tersebut bukan sahaja menceriakan persekitaran kampung, malah menjadi usaha menghidupkan kembali budaya lama yang semakin dilupakan generasi muda.

Menurut wakil belia kampung, Muhammad Zulfiqri Zulkifli, 25, pelita itu menghiasi sepanjang satu kilometer jalan masuk ke Kampung Nam Dam, selain digunakan untuk mendirikan replika Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Alor Setar dan Jambatan Pulau Pinang.

“Kami yang muda-muda cari buluh di hutan dan penduduk lain pula berkongsi duit membeli pelita dan minyak dengan kos kurang RM1,000. Memang puas hati bila tengok hasilnya, ia bukan sahaja memeriahkan suasana hari raya malah menghimpunkan penduduk kampung.

“Walaupun sekarang orang lebih banyak guna lampu solar atau lampu hiasan moden, kami tetap mahu kekalkan pelita minyak tanah kerana ia memberi suasana raya yang lebih klasik,” katanya ketika ditemui di kampung itu.

Kampung Nam Dam terang-benderang disinari 800 pelita raya
PELBAGAI lapisan masyarakat khususnya golongan muda terlibat menjayakan aktiviti memasang pelita di Kampung Nam Dam, Pendang. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Sementara itu, Mohd. Al-Khaled Asyraf Mohd. Yusof, 22, berkata, pelita raya itu juga bertujuan menyambut kepulangan anak-anak perantau ke kampung.

“Kita nak bagi peluang anak rantau rasa seronok bila balik kampung, tengok pelita macam zaman dulu-dulu, barulah rasa raya,” ujarnya.

Katanya, salah satu cabaran mereka adalah untuk menyalakan semula pelita yang terpadam kerana kawasan yang terletak di kawasan sawah itu berangin.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, inisiatif kreatif itu bukan sahaja mengembalikan nostalgia lama dan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat tetapi turut menjamin keselamatan dan keamanan persekitaran kampung.

“Idea pelita ini datang sepenuhnya daripada anak muda kampung yang bersemangat menghidupkan suasana raya. Dari jalan utama sudah nampak nyalaan pelita yang turut membawa maksud kampung ini selamat dan penduduknya hidup dalam keadaan aman,” katanya. -UTUSAN

Scroll to Top