am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan membuat persediaan segera dan mengemukakan pelan kontingensi untuk mempersiapkan negara menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik yang semakin kritikal, khususnya akibat konflik di Asia Barat.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran kini memberi kesan meluas ke rantau Teluk, yang seterusnya boleh menjejaskan ekonomi global dan Malaysia.
“Jika keadaan ini berterusan, ekonomi Malaysia akan terjejas. Harga barang akan melambung dan inflasi akan meningkat, akhirnya rakyat menjadi mangsa.
“Di waktu inilah kita mengharapkan kepemimpinan yang baik, yang ada hala tuju jelas, yang matang dalam membuat keputusan, dan tahu mencari jalan keluar untuk rakyat dan negara.
“Kita mahu kerajaan lakukan yang terbaik, buat persediaan segera dengan mengemukakan pelan kontingensi supaya rakyat dan negara berupaya menghadapi cabaran yang mendatang nanti,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.
Justeru, beliau mencadangkan pendekatan ‘reset’ dilaksanakan sebagai langkah menyeluruh untuk masa depan negara.
“Agenda ‘reset’ ini bukan soal kelangsungan politik mana-mana individu atau parti. Ia adalah perjuangan bersifat menyeluruh, inklusif dan berorientasikan masa depan negara.
“Lebih penting, ia selari dengan pendekatan maqasid syariah supaya terbinanya sebuah negara ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafur’ – sebuah negara yang baik, yang makmur, yang mendapat keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin yang terus dizalimi dalam konflik di Asia Barat, meskipun dalam suasana menyambut Hari Raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




