Anak editor kanan Astro Awani maut kemalangan di Tanah Merah

Anak editor kanan Astro Awani maut kemalangan di Tanah Merah

Tanah Merah: Anak kepada editor kanan Astro Awani meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Banggol Jering, Ayer Lanas di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku apabila Perodua Myvi dipandu mangsa, Mursyid Azmi, 25, iaitu anak kepada Husna Yusop, bertembung dengan sebuah Toyota Fortuner milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang Disagar Mani Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.43 petang dengan pemandu Perodua Myvi dilapor parah dan tersepit di bahagian tempat duduk.

“Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke Hospital Jeli.

“Kami dimaklumkan, mangsa meninggal dunia selepas itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Perodua Myvi dipandu mangsa dan dua penumpang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Kelantan.

Pemandu dan penumpang Toyota Fortuner tidak mengalami kecederaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top