Definisi pekerja gig perlu disemak elak kekeliruan

Definisi pekerja gig perlu disemak elak kekeliruan

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Keperluan menyemak semula definisi pekerja gig dalam Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) dilihat releven bagi mengelakkan kekeliruan penguatkuasaan, selain memastikan hak lebih sejuta rakyat Malaysia yang bergantung kepada sektor itu terus terpelihara.

Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Masyarakat), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Rozanah Ab Rahman berkata, semakan terhadap definisi itu perlu dilakukan secara teliti supaya ia lebih jelas dan mampu membezakan antara subsektor dalam ekonomi gig yang semakin berkembang.

“Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah menetapkan syarat kewarganegaraan secara lebih spesifik mengikut sektor.

“Sebagai contoh, mungkin perlu ada definisi jelas yang menyatakan syarat warganegara itu terpakai bagi sektor pengangkutan awam darat sebagaimana ditetapkan dalam Akta 715, dan pemastautin tetap hanya diiktiraf sebagai pekerja gig dalam sektor selain pengangkutan,” katanya.

Menurutnya, Akta Pekerja Gig 2025 secara asasnya bertujuan melindungi semua pekerja gig di Malaysia termasuk mereka yang berstatus pemastautin tetap.

Katanya, pendekatan itu dilihat sebagai usaha mewujudkan definisi pekerja yang lebih inklusif memandangkan golongan pemastautin tetap turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor gig.

“Namun, terdapat kegusaran dalam kalangan pekerja tempatan berhubung pengiktirafan pemastautin tetap yang dikhuatiri membuka ruang persaingan dan menjejaskan peluang rakyat Malaysia.

“Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada definisi pemastautin tetap itu perlu digugurkan atau diperhalusi supaya tidak menjejaskan kepentingan pekerja warganegara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan sektor e-hailing dan p-hailing dalam ekonomi gig mempunyai fungsi dan kerangka kawal selia berbeza walaupun kedua-duanya sama penting.

Katanya, Akta Pekerja Gig 2025 berperanan memberi perlindungan kepada kedua-dua sektor ini melalui penetapan kontrak perkhidmatan serta akses kepada perlindungan sosial.

“Pekerja gig akan dilindungi dari sudut hak berkontrak dan turut diberikan akses kepada sistem keselamatan sosial serta perlindungan insurans tertentu.

“Namun begitu, timbul isu percanggahan apabila Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) hanya membenarkan warganegara Malaysia menjadi pemandu e-hailing,” katanya.

Beliau berkata, situasi ini menyebabkan pemastautin tetap yang diiktiraf sebagai pekerja gig di bawah Akta 872 tidak layak memohon lesen pengangkutan awam.

“Di sinilah timbul percanggahan apabila mereka diiktiraf sebagai pekerja gig dan boleh menuntut hak kontrak, tetapi tidak boleh beroperasi sebagai pemandu kerana kekangan lesen,” katanya.

Menurutnya, perbezaan itu berpunca daripada mandat berbeza antara kementerian yang menggubal kedua-dua akta berkenaan.

“Akta 872 memberi fokus kepada perlindungan sosial dan hubungan kontrak pekerja gig, manakala Akta 715 lebih menekankan aspek keselamatan, pelesenan dan kawal selia pengangkutan awam.

“Pendekatan Akta 872 bersifat inklusif, manakala Akta 715 pula lebih menjurus kepada perlindungan keselamatan serta keutamaan nasional,” katanya.

Beliau berkata, pertindihan ini memerlukan penyelarasan lebih menyeluruh antara kementerian berkaitan.

Katanya, jika tidak diteliti, undang-undang baharu yang digubal berpotensi menimbulkan konflik walaupun pada asalnya bertujuan melengkapkan perundangan sedia ada.

“Dalam konteks ini, pertindihan itu sendiri adalah cabaran struktur dalam proses penggubalan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, walaupun isu konflik perundangan masih relevan untuk dinilai, pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 kini masih berada pada fasa awal.

“Keberkesanan sebenar hanya dapat dinilai selepas pelaksanaan penuh dilakukan, sebelum sebarang penambahbaikan dibuat.

“Perlindungan undang-undang kepada pekerja gig yang sekian lama dinantikan wajar dilihat secara positif dan berimbang apabila ia mula dikuatkuasakan,”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top