WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Jumaat menyifatkan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai ‘pengecut’ kerana tidak mengendahkan permintaannya untuk memberi bantuan ketenteraan terhadap Iran bagi mengawal laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Trump kebelakangan ini dilihat mengeluarkan kenyataan bercanggah apabila menyatakan Washington tidak memerlukan bantuan untuk mengamankan laluan penting bagi kapal tangki minyak itu, sebelum kemudian mengkritik negara lain kerana gagal membantu.
“Tanpa AS, NATO ibarat harimau kertas! Mereka tidak mahu menyertai usaha menghentikan Iran yang berkuasa nuklear.
“Kini apabila pertempuran dimenangi dari segi ketenteraan, dengan risiko yang sangat rendah kepada mereka, mereka pula mengadu harga minyak tinggi terpaksa dibayar, tetapi tidak mahu membantu buka Selat Hormuz, operasi ketenteraan mudah yang menjadi puncak utama harga minyak tinggi.
“Begitu mudah untuk mereka lakukan, dengan risiko yang sangat rendah. Pengecut dan kami akan ingat,” katanya di Truth Social.
Pemimpin Republikan berusia 79 tahun itu, sekian lama skeptikal terhadap pakatan ketenteraan Barat, melancarkan beberapa kritikan keras terhadap NATO sejak kebelakangan ini.
Khamis lalu, enam kuasa besar antarabangsa termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman dan Jepun menyatakan kesediaan menyumbang kepada usaha bersesuaian bagi menjamin keselamatan Selat Hormuz.
Bagaimanapun, negara-negara tersebut belum membuat komitmen rasmi untuk menyertai sebarang misi di laluan perairan penting itu, manakala sekutu lain seperti Jerman dan Itali menolak mengambil tindakan sebelum gencatan senjata dicapai dalam perang di Asia Barat.
Tiada satu pun negara yang Trump mintak bantuan dirujuk terlebih dahulu sebelum misi bersama AS-Israel dimulakan.
Sekatan berkesan oleh Iran melumpuhkan perkapalan komersial melalui laluan maritim penting itu, yang biasanya menyaksikan kira-kira satu perlima bekalan minyak mentah global dan gas asli cecair melalui kawasan berkenaan.
Harga minyak global melonjak susulan perang yang tercetus pada 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan pengeboman ke atas Iran, sekali gus mendorong Teheran bertindak balas dengan serangan di seluruh rantau Teluk.- AFP




