Kuala Lumpur: Sebarang anasir yang mengancam perpaduan rakyat mesti dibanteras tanpa kompromi, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Dalam Perutusan Aidilfitri 2026 yang dikongsi menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah mengulangi nasihat itu yang pernah diberikan dalam perutusan tahun lepas, yang nampaknya sudah dilupakan oleh orang ramai atau dibuat tidak endah.
“Ia bukan sekadar tindakan undang-undang atau perbincangan antara pemimpin masyarakat ketika timbulnya guris hati dan amaran, tetapi juga dalam penerapan amalan peradaban seharian dalam kalangan rakyat, ia mesti dipupuk serta sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda bertitah mengingatkan rakyat Malaysia agar jangan melupakan lima prinsip Rukun Negara yang juga menyatakan prinsip “Kesopanan dan Kesusilaan”.
“Di manakah kekurangan kita mendidik rakyat berkenaan perkara asas adab ini hingga ada yang begitu beracun dan kurang ajar sudut pandang serta kelakuannya hingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?” titah Seri Paduka Baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




