am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan ketika mengelak anjing melintas jalan dalam kemalangan di Jalan Garing, Machap Baru, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa warga asing berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi yang dinaiki enam individu termasuk lima warga Indonesia dan seorang kanak-kanak tempatan berusia empat tahun.
Menurutnya, sebelum kejadian, kenderaan itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Bukit Beruang menuju ke Tebong.
“Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak anjing melintas jalan sebelum kenderaan dinaiki mereka terbabas ke bahu kiri dan terjunam ke dalam parit.
“Akibat kemalangan itu, pemandu lelaki berusia 39 tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki.
“Manakala seorang wanita warga asing berumur 40 tahun cedera di tangan kanan dan kaki kiri, dan kanak-kanak tersebut hanya mengalami luka ringan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, dua lagi penumpang berusia 28 dan 52 tahun turut mengalami kecederaan di bahagian muka, tulang rusuk serta badan.
“Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke unit forensik hospital berkenaan bagi tujuan proses bedah siasat,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd



