Prasarana sudah kemuka pelan tindakan gangguan LRT Kelana Jaya

Prasarana sudah kemuka pelan tindakan gangguan LRT Kelana Jaya

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sudah mengemukakan laporan pelan tindakan susulan gangguan berulang yang dialami perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata langkah itu diambil seperti yang diarahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini.

“Kami telah melaporkan pelan tindakan itu dua hingga tiga minggu lalu ketika mesyuarat pasca-Kabinet berkaitan tindakan dari aspek teknikal dan pengalaman pelanggan.

“Alhamdulillah, saya rasa mereka menerima laporan pelan tindakan kami. Di pihak kami, kita memastikan rancangan tindakan dilaksanakan dengan tepat,” katanya dalam sidang media selepas sesi tinjauan operasi tren dan bas Rapid KL pada 1 Syawal di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa lebih dua jam beramah mesra dengan pengguna dan kakitangan Rapid KL yang bertugas sepanjang Aidilfitri di beberapa stesen MRT termasuk Ampang Park, TRX dan Pasar Seni, di sini.

Turut mengiringi, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana, Dr Prodyut Dutt; Ketua Pegawai Operasi MRT Rapid Rail, Ir Arnizan Ariffin; dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria.

Media sebelum ini melaporkan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan menyiasat insiden gangguan berulang yang dialami perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya pada awal Ramadan ini.

Loke dilaporkan berkata, beliau juga mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memberi penjelasan berhubung perkara itu dalam mesyuarat pasca-Kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera.

Dalam pada itu, Amir berkata, operasi pengangkutan awam kendalian Prasarana sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri berjalan lancar dan terkawal, meskipun berlaku penurunan jumlah penumpang.

Katanya, seramai kira-kira 3,200 kakitangan bertugas pada Hari Raya bagi memastikan kelancaran operasi, dengan jumlah penumpang direkodkan menurun sekitar lima peratus berikutan ramai warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Walaupun jumlah penumpang berkurangan, operasi kami kekal teratur dan selesa. Penumpang yang menggunakan tren hari ini juga dilihat gembira kerana keadaan tidak sesak dan mereka dapat duduk dengan selesa sepanjang perjalanan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mengekalkan kekerapan tren mengikut laluan dan waktu operasi dengan anggaran tujuh minit bagi LRT dan 10 minit bagi MRT.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top