Switzerland henti eksport peralatan perang ke AS

Switzerland henti eksport peralatan perang ke AS

BERN: Switzerland pada Jumaat mengumumkan akan menghentikan eksport peralatan perang ke Amerika Syarikat (AS) susulan konflik berterusan melibatkan Iran, sekali gus menegaskan prinsip berkecuali yang diamalkan negara itu, lapor Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Majlis Persekutuan Switzerland memaklumkan eksport senjata ke negara yang terlibat dalam konflik bersenjata antarabangsa dengan Iran tidak boleh diluluskan sepanjang tempoh permusuhan.

Lesen sedia ada dan eksport barangan lain akan dipantau secara berkala oleh kumpulan pakar antara jabatan.

“Eksport peralatan ketenteraan ke AS pada masa ini tidak boleh diluluskan. Memandangkan AS terlibat dalam konflik bersenjata antarabangsa, syarat pengecualian di bawah Artikel 22a perenggan 2 huruf a Akta Peralatan Ketenteraan dipenuhi,” menurut kenyataan itu.

Ia turut memaklumkan tiada lesen baharu bagi eksport senjata ke AS dikeluarkan sejak konflik memuncak pada 28 Februari.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Israel dan Iran tidak menerima lesen eksport senjata muktamad sejak beberapa tahun lalu, manakala lesen sedia ada yang tidak berkaitan dengan konflik masih boleh diteruskan.

Kumpulan pakar itu akan menilai barangan dwiguna, eksport berkaitan ketenteraan di bawah Akta Kawalan Barangan, serta barangan yang tertakluk kepada sekatan terhadap Iran bagi memastikan pematuhan terhadap prinsip berkecuali.

Switzerland, yang terkenal dengan dasar berkecualinya yang ketat, mengambil pendekatan berjaga-jaga dan lebih tegas terhadap eksport ketenteraan ke semua negara yang terlibat dalam konflik tersebut.

Permusuhan di rantau itu semakin memuncak sejak Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang setakat ini dilaporkan mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan korban jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan.

Scroll to Top