nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan kemalangan yang berlaku di Kampung Rahmat Bukit Bunga, Tanah Merah semalam mengakibatkan seorang lelaki maut berpunca daripada kenderaan jabatannya.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah, berkata pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial berhubung kemalangan jalan raya semalam.
“Dakwaan menyatakan bahawa kemalangan berkenaan berpunca daripada JPJ mengejar lori menyebabkan kemalangan seperti mana yang ditularkan di dalam video berdurasi 34 saat yang adalah tidak benar dan tidak berasas.
“Kenderaan jabatan pada ketika itu sedang melaksanakan rondaan rasmi sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2026, dan anggota terbabit mematuhi prosedur operasi serta peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
“JPJ ingin menegaskan bahawa sebarang siasatan lanjut adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga siasatan lengkap dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa katanya, JPJ menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang terlibat dalam kemalangan ini dan mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah.
“Semoga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Kepada mangsa yang mengalami kecederaan pihak JPJ mendoakan agar semua mangsa diberikan kesembuhan dengan segera.
“JPJ kekal komited dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan secara profesional, berintegriti dan berhemah demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.
Semalam media melaporkan, anak kepada editor kanan Astro Awani meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Bukit Bunga, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, kemalangan membabitkan Perodua Myvi yang dipandu mangsa, Mursyid Azmi, 25, dan sebuah Toyota Fortuner milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbabit dalam kemalangan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




