Sudah biasa bergilir bertugas ketika Aidilfitri saban tahun

Sudah biasa bergilir bertugas ketika Aidilfitri saban tahun

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketika kebanyakan warga kota pulang ke kampung halaman menikmati kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga, ramai petugas pengangkutan awam yang setia menjalankan tanggungjawab bagi memastikan perjalanan pengguna berjalan lancar.

Menggalas peranan dan tanggungjawab, wira tidak didendang ini Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus komited bertugas, mengawal aliran penumpang serta membantu orang ramai sepanjang musim perayaan.

Bagi Pegawai Stesen MRT Pasar Seni, Noor Fadzilah Arifin, 41, bertugas pada 1 Syawal bukan lagi perkara asing selepas lebih sedekad berkhidmat.

“Sepanjang 10 tahun ini, saya sudah biasa bekerja pada hari raya kerana jadual disusun secara bergilir setiap tahun.

“Biasanya kita sudah tahu lebih awal. Jika tahun ini bekerja, tahun depan mungkin cuti, jadi perancangan balik kampung boleh dibuat awal,” katanya ketika ditemui di stesen MRT Ampang Park.

Menurutnya, walaupun tidak dapat pulang ke Kedah pada hari raya pertama, dia sudah mengambil peluang bercuti lebih awal sepanjang Ramadan.

“Saya rancang pulang ke kampung pada raya keenam. Anak-anak juga sudah faham dengan situasi kerja saya,” katanya.

Noor Fadzilah berkata, suasana kerja pada hari raya berbeza berbanding hari biasa dengan peningkatan jumlah pelancong dan pengguna dari luar Kuala Lumpur.

“Kami banyak membantu mereka yang kurang arif tentang laluan atau sistem MRT kerana ada yang kali pertama menggunakan MRT dan bukan warga Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau turut bersyukur kerana pihak pengurusan memberi kelonggaran kepada petugas untuk memakai pakaian raya, sekali gus membolehkan mereka turut merasai kemeriahan Aidilfitri.

“Kami masih dapat rasa suasana beraya walaupun bekerja. Pagi tadi kami sempat potluck bersama sebelum masing-masing memulakan tugas,” katanya.

Sementara itu, anggota Polis Bantuan MRT, Muhammad Noor Syazwan Shamsuddin, 37, berkata pengalaman bertugas ketika Aidilfitri sudah menjadi rutin sepanjang 15 tahun perkhidmatannya.

Katanya, kehadiran petugas keselamatan amat penting bagi memastikan operasi berjalan lancar serta memberi keyakinan kepada pengguna.

“Tugas utama kami adalah menjaga keselamatan dan mengawal aliran penumpang, terutama apabila jumlah pelancong meningkat.

“Kami perlu sentiasa bersedia kerana aspek keselamatan tidak boleh dikompromi,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu mengakui pada awal perkhidmatan, perasaan rindu keluarga terutama ketika hari raya sukar dielakkan, namun kini beliau sudah terbiasa dengan tuntutan tugas.

“Dulu memang terasa rindu, tetapi lama-kelamaan saya faham ini tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Katanya, keluarganya juga memahami komitmen tersebut dan sentiasa memberi sokongan.

“Anak-anak pulang ke kampung di Tanjung Malim, Perak dahulu dan saya akan menyusul selepas selesai bertugas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top