Kanak-kanak ditemukan lemas, rakan masih hilang ketika mandi air terjun

Kanak-kanak ditemukan lemas, rakan masih hilang ketika mandi air terjun

am@hmetro.com.my

Kuching: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di kawasan air terjun Sungai Plan Lot, Kidurong di Bintulu, hari ini manakala seorang lagi dilaporkan masih hilang.

Mangsa Tristan Mariss Marissa Erna, 12, ditemukan lemas oleh pasukan penyelamat pada jam 5.20 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa ditemukan pada jarak kira-kira lima meter dari tebing pada kedalaman kira-kira sembilan meter.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan bagi mengesan seorang lagi yang masih hilang, Daren Dakun, 13.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2 petang sebelum pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang.

“Menurut maklumat saksi, kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan masing-masing seorang lelaki berusia 13 tahun dan seorang perempuan berusia 14 tahun berada di lokasi itu untuk mandi-manda.

“Difahamkan, kesemua mereka sedang mandi di kawasan air terjun berkenaan sebelum kejadian berlaku dengan kedua-dua mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat sekitar jam 2.30 petang sebelum disyaki lemas,” katanya.

Katanya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Operasi SAR kemudian dilancarkan dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di sekitar kawasan kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top