IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Perak tahun 2026 yang diadakan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Exco, kepimpinan dan pentadbiran negeri.
Majlis tersebut bermula pukul 2 petang dengan dihadiri kira-kira 20,000 orang dan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan tradisional.
Sementara itu, Menteri Besar Perak ketika menyampaikan sembah ucapan sempena majlis, mengajak semua menghargai dan menginsafi nikmat keamanan yang sedang dikecapi.
Katanya, kebelakangan ini negara sering dihidangkan dengan pelbagai isu menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang jika tidak ditangani boleh meretakkan hubungan dan menghakis kepercayaan.
“Media sosial yang sepatutnya menjadi wadah menyebarkan kebaikan dan menyuburkan persefahaman, disalahgunakan menjadi gelanggang perselisihan, tempat mengeji dan mencaci sesama sendiri, sehinggakan sensitiviti kaum dan agama disentuh tanpa adab dan budi pekerti.
“Maka pada hari yang penuh keberkatan ini, marilah kita sama-sama membetulkan segala salah tanggapan, memperbaiki niat dan menundukkan keangkuhan, serta menyucikan hati yang mudah tercemar,” katanya. – UTUSAN



