Keely pinjam kasut, buru emas dunia

Keely pinjam kasut, buru emas dunia

Torun: Juara Olimpik, Keely Hodgkinson berdepan detik mencemaskan apabila bagasinya hilang hampir dua hari selepas tiba di Poland bagi Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia.

Atlet Britain berusia 24 tahun itu terpaksa meminjam kasut latihan sebelum aksi 800 meter (m) wanita, namun tetap tenang apabila mara ke final di Torun selepas mencatat masa satu minit 58.53 saat, semalam.

Keely yang meraih emas di Olimpik Paris serta memecahkan rekod dunia 800m dalam dewan bulan lalu, jelas tidak terganggu dengan situasi berkenaan.

“Memang mula rasa marah. Seorang gadis Poland yang baik hati pinjamkan spikes, tapi saya dapat lepuh.

“Saya langsung tiada kit atau suplemen, tapi semuanya sudah kembali sekarang,” katanya. Bagasi miliknya akhirnya ditemui sebelum saingan pusingan pertama.

Keely muncul pelari terpantas dalam saringan dan kini dilihat sebagai calon utama emas, dalam acara yang sebelum ini sering ‘terlepas’ daripadanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top