Pegawai perisikan Iraq maut dalam insiden serangan dron di Baghdad

Pegawai perisikan Iraq maut dalam insiden serangan dron di Baghdad

Istanbul/Baghdad: Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Iraq pada Sabtu mengumumkan bahawa seorang pegawainya maut dalam insiden yang disifatkan sebagai “serangan pengganas” yang menyasarkan kawasan berhampiran ibu pejabatnya di Baghdad, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan di platform X, agensi perisikan itu memaklumkan: “Pada 10 pagi (0700GMT) hari ini, Sabtu, kawasan sekitar tapak Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan di Baghdad telah disasarkan dalam satu serangan pengganas yang dilakukan oleh kumpulan penjahat, mengakibatkan seorang pegawai terkorban.”

Agensi itu menyifatkan insiden berkenaan sebagai “cubaan terdesak yang bertujuan menghalang perkhidmatan itu daripada melaksanakan tugas profesionalnya.”

Ia menegaskan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan tanggungjawab negara, sambil menambah bahawa “amalan keganasan seperti ini hanya akan meningkatkan tekad dan azam untuk memburu pelaku serta pihak yang bertanggungjawab sehingga mereka ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.”

Sementara itu, puak yang bersekutu dengan kumpulan “penentangan Iraq” mendakwa serangan itu berlaku selepas “beberapa anggota perisikan AS melarikan diri” susulan serangan berterusan ke atas Kedutaan AS dan Pangkalan Victoria, dakwaan yang masih belum disahkan oleh sumber rasmi.

Terdahulu, Ketua Sel Media Keselamatan Iraq Saad Maan dalam kenyataan ringkas yang disiarkan oleh Agensi Berita Iraq (INA) berkata “pada 10.15 pagi hari ini (0715GMT), sebuah dron jatuh di ibu pejabat Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Iraq di kawasan Al-Mansour (barat Baghdad).”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top