Rezeki Syawal ibu tunggal tiga anak

Rezeki Syawal ibu tunggal tiga anak

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Hari pertama Aidilfitri membawa makna lebih mendalam buat Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud apabila seorang ibu tunggal bergelut dengan kekangan kewangan yang ditemuinya baru-baru ini, akhirnya berjaya mendapat pekerjaan.

Nasib menimpa wanita dikenali dengan nama Rohana, 27, daripada komuniti Bajau Samah itu memberi kesan mendalam kepada Mustapha sejak awal Ramadan selepas beliau mengetahui kesukaran dihadapi dalam membesarkan tiga anak kecil seorang diri.

Dia ditinggalkan suami pada 2023 dan sejak itu menjaga anak-anaknya yang berusia 10, 6 dan 3 tahun tanpa sumber pendapatan tetap.

“Dia tiada pekerjaan tetap dan hanya melakukan kerja sambilan seperti mengemas rumah atau membasuh pakaian. Kadang-kadang dia hanya memperoleh serendah RM300 sebulan untuk menyara keluarga.

“Apa yang paling menyentuh hati saya ialah anak bongsunya tidak pernah minum susu formula. Bukan kerana Rohana tidak mengambil berat, tetapi kerana dia tidak mampu membelinya. Anak itu hanya diberi susu pekat manis yang dicampur air suam sejak lahir,” kata Mustapha ketika ditemui.

Mustapha berkata, keluarga itu tinggal di sebuah tempat perlindungan sementara yang diubah suai daripada reban ayam lama tanpa kemudahan yang sempurna.

Walaupun berdepan cabaran, katanya, Rohana kekal tabah dan komited terhadap pendidikan anak-anaknya dengan memastikan mereka bersekolah dan belajar membaca al-Quran.

Tersentuh dengan keadaan itu, beliau berkata, usaha telah dilakukan untuk membantu Rohana mendapatkan pekerjaan sebagai penyelesaian yang lebih mampan.

“Alhamdulillah, hari ini dia telah mula bekerja di sebuah pasar mini di bandar dengan gaji RM1,700 sebulan. Mungkin nampak kecil bagi sesetengah orang, tetapi bagi dia, ia mengubah kehidupannya sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, pendapatan tetap akan membolehkan Rohana menyediakan keperluan asas untuk anak-anaknya dengan lebih baik, termasuk perkara yang sebelum ini tidak mampu dimiliki.

Katanya, apa yang dialami Rohana menjadi peringatan bahawa perubahan bermakna boleh bermula dengan membantu satu keluarga pada satu masa.

“Kadang-kadang kita tidak mampu mengubah segalanya, tetapi mengubah kehidupan satu keluarga sudah sangat bermakna,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top