London: Pengendali Liverpool FC, Arne Slot enggan mencari alasan selepas pasukannya menelan kekalahan ke-10 musim ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun mengakui faktor kecederaan dan jadual padat menjejaskan prestasi pasukan.
Pada aksi di Stadium Amex, Liverpool tewas 1-2 kepada Brighton & Hove Albion hasil dua gol Danny Welbeck yang memastikan kemenangan selesa buat tuan rumah.
Kekalahan itu hadir hanya beberapa hari selepas The Reds mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang Galatasaray dalam saingan Liga Juara-Juara.
Slot berkata, Brighton berhak meraih kemenangan, namun menegaskan kedudukan pasukannya ketika ini tetap tidak memuaskan.
“Ia bukan tugas saya untuk mencari alasan, tetapi kami kehilangan ramai pemain utama. Mohamed Salah dan Alisson Becker cedera, malah Hugo Ekitike terpaksa dikeluarkan seawal minit kelapan,” katanya.
Menurutnya, situasi itu kerap berlaku sepanjang musim dan memberi kesan besar kepada rentak permainan pasukan.
“Kami sering mempamerkan aksi baik sebelum ini, tetapi gagal mengekalkan momentum dalam perlawanan seterusnya. Malah, peluang pertama lawan juga sering menghasilkan gol,” katanya.
Kekalahan itu turut menyaksikan Liverpool terlepas peluang memintas Aston Villa untuk menghuni tangga keempat liga.
Sebaliknya, juara bertahan itu hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan terakhir, termasuk tewas 1-2 kepada Wolverhampton Wanderers dan seri 1-1 menentang Tottenham Hotspur.
Slot turut menegaskan kekalahan di Brighton bukan punca utama kemerosotan prestasi, sebaliknya kehilangan mata pada saat akhir dalam perlawanan sebelum ini lebih memberi kesan.
“Gol minit ke-90 minggu lalu lebih memberi kesan berbanding kekalahan di sini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan kecederaan Ekitike berpunca daripada tempoh rehat singkat selepas aksi padat pertengahan minggu.
“Apabila menentang pasukan yang hanya mempunyai kira-kira 62 jam rehat, permainan pasti menjadi lebih sengit dan akhirnya berlaku pelanggaran yang menyebabkan pemain cedera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




