Isteri rungsing suami belum pulih selepas dilanggar lari

Isteri rungsing suami belum pulih selepas dilanggar lari

am@hmetro.com.my

Seremban: Ketibaan Aidilfitri kali ini menguji kekuatan dan ketabahan seorang wanita apabila buat pertama kalinya menyambut hari lebaran dalam keadaan suami yang terlantar.

Insiden pada Jun tahun lalu menyebabkan Mohd Fairus Khamis, 42, suami kepada Rozalina Jaafar, 40, terbaring kaku selepas dikatakan dilanggar lari ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Kejadian itu mengubah kehidupan Rozalina apabila dia kini bertanggungjawab mencari rezeki, membesarkan dua anak berusia lima dan 12 tahun serta menguruskan suami.

Menurut Rozalina, kebiasaannya setiap tahun dia dan suami akan bergilir untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing sekiranya mendapat cuti.

“Kalau ikut perancangannya tahun ini sepatutnya kami pulang beraya di kampung saya di Taiping, Perak kerana tahun lalu beraya di kampung suami di Melaka.

“Namun dengan keadaan suami, kami terpaksa lupakannya dan memang tidak dapat ke mana-mana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Seri Sendayan, di sini, hari ini.

Menurutnya, anak sulungnya sudah faham dengan keadaan suaminya, namun anak kedua sehingga kini masih tidak faham dan bertanya kenapa bapa mereka tidak bangun.

Namun, katanya, dia bersyukur kerana kaum keluarga memberikan sokongan menyebabkannya tidak rasa keseorangan dan lebih kuat.

“Adik beradik saya berpakat untuk berkumpul dan sambut Aidilfitri di rumah saya pada tahun ini memandangkan saya tidak dapat ke mana-mana.

“Saya sendiri buat persiapan ala kadar sahaja untuk raya ini berbanding tahun sebelum ini kami keluar beli baju dan persiapan. Namun saya sediakan baju raya untuk anak-anak supaya mereka tidak rasa sedih.

“Malah, emak dan ayah mentua saya juga bergilir-gilir membantu menjaga suami sementara saya pergi bekerja,” katanya.

Anggota berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban itu berkata, selepas kejadian berkenaan, rutin hariannya berubah, namun dia perlu kuat hadapi ujian ini demi anak.

“Sebelum pergi kerja pada waktu pagi, saya akan siapkan suami. Jika ada masa terluang pada waktu rehat, saya pulang untuk jenguk suami yang dijaga secara bergilir oleh emak dan ayah mentua,” katanya.

Menceritakan perkembangan keadaan suaminya, Rozalina berkata, dia reda dengan ketentuan takdir selepas dimaklumkan doktor bahawa peluang suaminya untuk pulih adalah tipis.

“Sejak kejadian itu sampai sekarang, suami masih tiada sebarang respon, namun sejak kebelakangan ini dia menunjukkan sedikit perubahan apabila kerap mengelipkan mata.

“Sehingga kini dia sudah jalani lima kali pembedahan di kepala. Ketika ini suami hanya minum susu khas setiap tiga jam,” katanya.

Rozalina dalam masa sama meluahkan kekecewaan apabila sehingga kini tiada pihak yang tampil bertanggungjawab terhadap kejadian menimpa suaminya.

“Ketika kejadian tiada saksi yang nampak, tiada kamera di kawasan terdekat. Suami hanya dijumpai orang awam yang lalu di kawasan itu dan difahamkan ketika kejadian dia sempat bangun.

“Sampai sekarang tiada individu yang tampil. Biarlah Tuhan sahaja yang membalas perbuatannya itu,” katanya.

Media pada Jun tahun lalu melaporkan, anggota polis berpangkat koperal cedera parah selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dilanggar lari di Jalan Bukit Nenas, di sini.

Dalam kejadian jam 7.55 pagi, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz seorang diri dari arah Sendayan menghala ke Sungai Ujong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top