am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen (JIM) memantau lokasi ‘hot spot’ dan tumpuan warga asing di ibu kota 24 jam sehari bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perayaan Aidilfitri dalam Ops Pemantauan bermula 20 Mac hingga 29 Mac ini.
Kawasan pemantauan membabitkan KLCC, TRX, SOGO, Pavillion, Bukit Bintang, Central Market, Petaling Steet, Kotaraya, Masjid India, Chow Kit dan Kampung Baru.
Rondaan turut dilakukan di beberapa jalan utama dengan mengunakan kenderaan jabatan yang mempunyai lampu ‘beacon’ supaya kehadiran anggota JIM dapat dirasai.
Ia membabitkan Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Imbi, Jalan Kia Peng, Jalan Changkat, Jalan Alor, Jalan Pudu, Jalan Silang, Jalan Tun H.S Lee, Jalan Raja Laut dan Jalan Masjid India.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pemantauan itu bukan untuk menyukarkan atau mengganggu warga asing menyambut perayaan tetapi sebagai langkah awal dalam memastikan mereka mengikut peraturan dan undang-undang imigresen.
“Tanggungjawab JIM adalah untuk memastikan pelancong dan warga asing sentiasa dipantau serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi itu membabitkan seramai 50 pegawai JIM pelbagai pangkat yang dilakukan secara syif 12 jam iaitu syif pertama dari 10 pagi sehingga 10 malam dan syif kedua, 10 malam hingga 10 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




