razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Mummy, mummy mesti kuat…jangan putus asa, semua akan jadi baik,” demikian kata-kata kanak-kanak berusia empat tahun yang menjadi sumber kekuatan terbesar kepada ibunya, Rika Desi Suhaine Abd Rahman, 36, yang kini sedang bertarung dengan kanser darah atau leukemia myeloid akut (AML).
Walaupun masih kecil, Mohd Aiyaz Mohd Izzat seolah-olah memahami penderitaan yang dihadapi oleh ibunya yang diserang penyakit serius itu sejak tahun lalu.
Rika berkata, kehidupannya berubah sekelip mata apabila selepas menghidap AML yang agresif tahun lalu.
“Sebelum ini, saya sudah menjalani tiga kitaran kemoterapi sehingga disahkan bebas kanser, namun penyakit itu kembali menyerang dalam tempoh hanya empat bulan.
“Doktor maklumkan keadaan saya ini agak luar biasa kerana kanser itu datang semula dengan cepat dan lebih agresif, menyebabkan saya tiada pilihan selain menjalani rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, simptom awal bermula dengan bengkak pada leher, penurunan berat badan mendadak, sukar tidur dan sesak nafas sebelum disahkan menghidap kanser darah.
“Sebaik dimaklumkan mengenai penyakit itu, saya cuba kuat di hadapan suami yang juga pernah diserang strok pada 2022, namun tidak dapat menahan perasaan apabila memikirkan anak saya
“Anak saya baru berusia empat tahun selalu cakap ‘ibu kena kuat, ibu kena lawan’. Apabila tengok dia menangis dan panggil saya jangan tinggalkan dia, saya jadi lemah,” katanya.
Suri rumah itu berkata, keadaan menjadi lebih mencabar apabila suaminya, Mohd Izzat Shari, 40, yang kini hanya mampu bekerja secara ringan akibat kesan strok, tidak dapat membantu sepenuhnya dalam menguruskan keluarga.
“Suami saya masih bekerja sebagai juruteknik di Muadzam Shah, Pahang, fizikalnya tidak kuat seperti dulu. Jadi saya perlu kuat untuk dia dan anak,” katanya.
Menurutnya, rawatan kemoterapi kali keempat dan kelima yang dilaluinya selepas kanser kembali menyerang memberi kesan lebih teruk termasuk muntah berterusan dan keletihan melampau.
“Doktor kata saya tak boleh tunggu lama sebab kanser ini terlalu agresif. Saya kena buat rawatan pemindahan sel stem dalam masa terdekat sebagai satu-satunya peluang untuk sembuh,” katanya.
Menurutnya, abangnya bersedia menjadi penderma sel stem selepas didapati sepadan 100 peratus, sekali gus memberi sedikit harapan buatnya untuk meneruskan rawatan.
Namun, kekangan kewangan menjadi cabaran terbesar apabila kos keseluruhan rawatan mencecah kira-kira RM30,000.
“Saya dan keluarga sudah jual kereta, barang kemas dan apa sahaja yang ada tetapi masih belum mencukupi. Selain kos rawatan, perbelanjaan ulang-alik ke hospital di Kuala Lumpur dari Johor turut menambah beban kewangan keluarga,” katanya.
Rika berkata, ketika ini dia masih memerlukan sekitar RM15,000 bagi menampung baki kos rawatan berkenaan.
“Permohonan bantuan daripada beberapa pihak sebelum ini tidak berjaya sehingga saya terpaksa bergantung kepada bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.
“Saya bersyukur Persatuan Kebajikan Sayap Kasih Malaysia tampil membantu, tapi masih belum mencukupi. Saya harap ada yang sudi bantu saya,” katanya.
Rika turut berharap orang ramai dapat mendoakannya agar diberikan kekuatan untuk melawan penyakit itu.
“Saya nak sembuh, saya nak tengok anak membesar, pergi sekolah dan jalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui Persatuan Kebajikan Sayap Kasih Malaysia di akaun Ambank, 8881060991545.
© New Straits Times Press (M) Bhd




