Zii Jia belum pulih 100 peratus – Chong Wei

Zii Jia belum pulih 100 peratus – Chong Wei

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, percaya pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, sedang berdepan masalah keyakinan diri yang menyebabkan dia masih bergelut untuk kembali ke tahap prestasi terbaiknya.

Bercakap kepada BH Sukan, Chong Wei berkata selain faktor kecederaan yang belum pulih sepenuhnya, aspek mental turut memainkan peranan besar berdasarkan aksi yang dipamerkan pemain itu dalam dua kejohanan di Eropah.

“Saya tidak tahu sepenuhnya apa masalah dia, tetapi saya rasa kecederaan dia belum pulih 100 peratus.

“Saya nampak dia bermain, tetapi keyakinan dia hilang. Dia seperti tidak tahu apa yang mahu dilakukan di dalam gelanggang.

“Sebagai atlet, saya faham situasi ini. Dia hanya perlukan satu kemenangan, tidak kira kejohanan kecil atau besar, untuk mengembalikan semula keyakinannya,” katanya.

Tahun lalu, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-86 dunia hanya beraksi dalam lima kejohanan selepas mengalami kecederaan buku lali dan belakang.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu kembali beraksi di Terbuka Malaysia, Januari lalu, namun masih belum menemui rentak apabila tersingkir awal di Terbuka Switzerland selain gagal melayakkan diri ke undian utama Masters Orleans di Perancis.

Pencapaian terbaiknya musim ini adalah mara ke suku akhir Masters Thailand pada Januari sebelum menarik diri pada set ketiga ketika menentang pemain Indonesia, Alwi Farhan, akibat kecederaan.

Mengulas lanjut, Chong Wei berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai keadaan fizikal Zii Jia dalam pertemuan bulan lalu dan mengakui pemain itu belum berada pada tahap terbaik.

“Ketika itu saya sudah dimaklumkan dia belum 100 peratus. Saya juga lihat ketika dia beraksi di Switzerland, pergerakannya tidak begitu lancar,” katanya.

Dalam masa sama, Chong Wei menegaskan pintu Akademi Badminton Malaysia (ABM) sentiasa terbuka buat Zii Jia untuk mendapatkan bantuan termasuk kemudahan latihan dan sokongan kepakaran menjelang saingan Piala Thomas di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei.

Katanya, perbincangan lanjut juga akan diadakan bersama pengarah kejurulatihan perseorangan, Kenneth Jonassen serta ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock bagi mencari pendekatan terbaik membantu pemain itu bangkit semula.

“Sebelum ini, saya sudah berbincang dengan Zii Jia dan pasukannya termasuk jurulatihnya, Liew Darren dan kita buka ruang untuk dia kembali menjalani latihan bersama BAM.

“Bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada dirinya kerana kita tidak boleh memaksa, tetapi apa yang penting kita mahu membantu.

“Walaupun dia pemain profesional, dia tetap mewakili Malaysia apabila beraksi dalam acara berpasukan dan memakai Jalur Gemilang. Kita semua satu pasukan.

“Apa sahaja fasiliti yang kita ada, dia boleh gunakan. Tiada masalah.

“Bila-bila masa dia mahu datang berlatih atau menggunakan kemudahan di BAM, kita sentiasa alu-alukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top