suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor mempergiat pemantauan di beberapa lokasi tumpuan warga asing menerusi pelaksanaan Ops Omnipresent sepanjang musim perayaan.
Operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan melalui rondaan dan pemeriksaan berkala di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot).
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pelaksanaan operasi itu dijalankan dengan penubuhan dua pasukan khas.
Katanya, seramai 16 pegawai JIM Selangor terbabit dalam operasi terbabit.
“Antara kawasan tumpuan utama operasi termasuk sekitar hentian bas di Port Klang, Terminal Bas Klang dan kawasan 13 Klang.
“Selain itu, operasi turut meliputi Dataran Otomobil Seksyen 15 Shah Alam, Pasar Borong Selayang, Mentari Court Sunway, GM Klang Wholesale serta Pasar Taman Sri Muda Shah Alam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seramai 200 individu telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan bermula Jumaat lalu hingga hari ini.
Katanya, operasi ini turut dilaksanakan menggunakan kenderaan rasmi jabatan yang dilengkapi lampu ‘beacon’ sebagai langkah meningkatkan kehadiran anggota penguat kuasa di lapangan.
“Ia juga bertujuan memberi keyakinan kepada orang awam terhadap usaha pemantauan yang dijalankan pihak berkuasa,” katanya
Dalam masa sama, Khairrul berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan sepanjang musim perayaan.
“Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




