am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Polis menahan seorang lelaki semalam bagi membantu siasatan susulan penularan video bermain mercun secara cuai dan berbahaya di atas jalan raya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam, di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang di sini, selepas bertindak atas maklumat.
“Semalam, tular satu rakaman video berdurasi 53 saat memaparkan seorang lelaki membakar mercun secara cuai dan berbahaya di atas jalan raya. Video dimuat naik oleh pemilik atau pengendali akaun media sosial ‘Kedah Version’.
“Kita sahkan kejadian itu berlaku di kawasan Seri Alam pada Rabu lalu kira-kira jam 11 malam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau kesalahan jenayah.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan kelakuan cuai berkenaan dengan apa-apa benda letupan.
Pada masa sama, Victor menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes berkenaan.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




