Tekanan air rendah beri kesan

Tekanan air rendah beri kesan

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Kelewatan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) disiapkan menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk Kampung Kubang Jela, dekat sini, kerana mereka menghadapi masalah tekanan air rendah khususnya pada waktu puncak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Kubang Jela, Jusoh Ngah, 72, berkata, projek berkenaan dilaksanakan pada tahun 2019 dan dijangka siap 2023 mengikut papan tanda yang dipasang.

Menurutnya, dia difahamkan pada peringkat pertama 10 rumah dengan kira-kira hampir 70 isi rumah akan mendapat manfaat daripada projek itu.

Katanya, pertambahan bilangan rumah sejak kebelakangan ini menjadikan jumlahnya lebih daripada 10 rumah manakala pengguna pula melebihi 100 orang.

“Waktu puncak dan perayaan menjadi igauan ngeri buat penduduk kerana tekanan air menjadi perlahan dan menyukarkan penduduk untuk melakukan aktiviti harian.

“Sistem paip lama digunakan sejak tahun 1995 yang mana ketika itu di kawasan ini hanya ada lima rumah sahaja.

“Namun apabila bilangan rumah bertambah paip sedia ada tidak dapat menampung agihan air yang efektif,” katanya.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu dalam jangka masa pendek, penduduk menggunakan sistem motor pengepam yang mana air disimpan di dalam tangki septik bagi kegunaan harian.

Katanya, pemasangan paip kampung (saluran paip di dalam kampung) difahamkan sudah siap sepenuhnya namun penyambungan daripada paip kampung ke rumah penduduk sahaja yang masih belum dilaksanakan.

“Ia tidak boleh dilakukan buat masa ini kerana ia tidak bersambung dengan paip utama yang berada di jalan utama yang membekalkan air ke seluruh kawasan ini.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengatasi masalah ini bagi membantu penduduk yang berdepan masalah tekanan air rendah sejak sekian lamam,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Fatimah Ngah, 74, berkata, dia terpaksa menggunakan motor penyedut air sebelum air ditakung di dalam tangki.

“Kalau tak guna kaedah itu sukar untuk saya untuk menggunakan air terus daripada paip kerana ada ketikanya air terlalu perlahan dan sukar untuk melakukan aktiviti harian.

“Saya berharap kerja-kerja penyambungan paip utama ke rumah penduduk dapat dilakukan dengan segera memandangkan projek saluran paip baharu sudah tersedia,” katanya.

Menurutnya, tekanan air rendah membataskan aktiviti harian termasuk untuk mengadakan majlis perkahwinan dan sebagainya yang memerlukan jumlah air yang banyak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top