RM188 juta lesap dalam sebulan

RM188 juta lesap dalam sebulan

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kes penipuan pelaburan tidak wujud di negara ini terus menunjukkan trend membimbangkan apabila sebanyak 1,459 kes direkodkan dalam tempoh dari Januari hingga Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Md Isa berkata, walaupun bilangan kes meningkat, statistik terkini mendedahkan jumlah kerugian mencatatkan penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Berdasarkan statistik dari Januari hingga Februari sebanyak RM188 juta jumlah kerugian direkodkan.

“Peningkatan kes sebanyak 11 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, peningkatan peratusan kes menunjukkan sindiket penipuan masih aktif mencari mangsa menggunakan pelbagai taktik licik di platform media sosial.

“Masyarakat perlu sentiasa berwaspada dengan mana-mana iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan yang tidak masuk akal dalam tempoh yang singkat.

“Sindiket lazimnya menggunakan aplikasi pemesejan seperti WhatsApp dan Telegram untuk memerangkap mangsa,” katanya.

Menurutnya, JSJK terus menyeru orang ramai untuk mengamalkan langkah pencegahan sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.

“Orang awam disarankan untuk membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon yang meragukan melalui portal Semakmule (semakmule.rmp.gov.my).

“Sekiranya menyedari diri menjadi mangsa penipuan, mangsa perlu segera menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk menyekat aliran wang keluar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top