Pelakon, Yusuf Bahrin mengakui sudah lali dengan soalan mengenai zuriat yang sering diajukan kepadanya dan isteri, penyanyi rap Zizi Kirana, terutama ketika musim perayaan.
Menurut Yusuf atau nama lengkapnya, Muhammad Yusuf Bahrin, 34, pertanyaan itu paling kerap timbul apabila mereka berkumpul bersama keluarga dan saudara-mara setiap kali Hari Raya.
“Selalunya bila raya memang soalan itulah yang keluar. Kita jumpa ramai keluarga dan saudara-mara, jadi benda itu memang biasa ditanya,” katanya.
Bagaimanapun, Yusuf berkata situasi itu lebih kerap berlaku pada awal perkahwinan mereka, namun, selepas lima tahun berkahwin, orang sekeliling dilihat semakin memahami dan jarang lagi mengajukan soalan tersebut.
“Mereka rasa dah okay, sampai satu tahap dah lima tahun berkahwin ni mereka dah senyap. Awal-awal dulu iya selalulah soalan itu keluar, sekarang mereka pun dah penat.
“Bertanya tu bagus, tapi bila berkali-kali jadi benda lain. Kita tak nak hadap benda macam tu. Jadi bila dah lama kita okay, saya dan isteri pun tak jawab benda-benda macam tu sangat, jadi orang pun fahamlah itu rezeki,” katanya.

Yusuf berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media iklan raya dan majlis berbuka puasa bersama LOL Entertainment yang berlangsung di Hotel Royal Chulan Damansara, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Yusuf turut berkongsi mengenai persiapan Aidilfitri bersama isterinya yang menurutnya dibuat secara sederhana.
Menariknya, pasangan itu juga tidak terlalu menitikberatkan soal pakaian sedondon setiap kali raya.
“Persiapan raya saya sederhana, seperti biasa. Kami tak sedondon. Tahun pertama kahwin saja sedondon, lepas itu bercampur sebab kadang kala ada warna yang kita nak pakai, dia tak nak. Zizi okay saja.
“Keluarga saya pun di kampung memang tak sedondon, kecuali kalau majlis perkahwinan,” katanya.




