'Kebankrapan air global' membimbangkan

'Kebankrapan air global' membimbangkan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) digesa merangka pelan strategik bagi mengatasi risiko situasi ‘kebankrapan air global’.

Pakar kualiti air dan permodelan kualiti air, Dr Zaki Zainudin berkata, istilah berkenaan bukan sekadar merujuk kepada kekurangan sumber air semata-mata, sebaliknya turut membabitkan aspek kualiti air yang semakin terjejas akibat pencemaran.

Beliau berkata, meskipun Malaysia menerima taburan hujan yang tinggi dan sering dianggap ‘mewah sumber air’, hakikatnya sumber berkenaan boleh menjadi tidak selamat untuk digunakan jika tidak diurus dengan baik.

“Tekanan berterusan terhadap sumber air seperti pencemaran sungai boleh menyebabkan air mentah memerlukan rawatan lebih kompleks sebelum boleh dibekalkan kepada pengguna.

“Jika keadaan ini berlarutan, tidak mustahil kos rawatan akan meningkat dan seterusnya memberi kesan kepada bil air rakyat pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Semalam, media melaporkan Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-INWEH) memberi amaran bahawa dunia sedang memasuki era “kebankrapan air global”.

Dalam keadaan ini, kemarau, kekurangan bekalan dan insiden pencemaran dilaporkan tidak lagi berlaku sebagai krisis sementara, sebaliknya menjadi keadaan kronik yang berpanjangan.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, beberapa insiden sebelum ini membuktikan bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada risiko krisis kualiti air, termasuk kejadian Sungai Perak bertukar warna serta gangguan bekalan air di Johor akibat pencemaran dan kerosakan infrastruktur.

Katanya, kejadian seperti penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda pada 2019 akibat kandungan arsenik tinggi juga menunjukkan ancaman serius terhadap keselamatan bekalan air negara.

“Walaupun negara kita menerima hujan yang banyak, ia bukan jaminan kita selamat.

“Jika sumber air tercemar, ia tetap tidak boleh digunakan tanpa rawatan intensif yang menelan kos tinggi.

“Dalam jangka panjang, ini boleh memberi tekanan kepada sistem bekalan air dan ekonomi negara,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan keperluan tindakan lebih drastik oleh kerajaan dan industri, khususnya dalam mengawal punca pencemaran di kawasan lembangan sungai.

Katanya, pendekatan pengurusan lembangan sungai secara bersepadu perlu diperkasakan bagi memastikan kelestarian sumber air untuk generasi akan datang.

“Langkah paling penting bukan sekadar berjimat di rumah, tetapi memastikan sumber air mentah kekal bersih.

“Jika kita gagal mengawal pencemaran dari sekarang, generasi akan datang mungkin berdepan situasi catuan air atau kos bekalan yang jauh lebih tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top