
Selat Hormuz adalah terbuka, namun kapal takut untuk melalui laluan itu susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Teheran. Foto Agensi
ISTANBUL – Menteri Luar Iran pada Ahad berkata, Selat Hormuz adalah terbuka, namun kapal takut untuk melalui laluan itu susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Teheran, lapor Anadolu Ajansi.
“Selat Hormuz tidak ditutup. Kapal teragak-agak kerana syarikat insurans takut terhadap perang pilihan yang kamu mulakan – bukan Iran,” kata Abbas Araghchi di platform media sosial X.
“Tiada syarikat insurans dan tiada rakyat Iran akan terkesan dengan lebih banyak ancaman. Cuba hormati.
“Kebebasan pelayaran tidak boleh wujud tanpa kebebasan perdagangan. Hormati kedua-duanya atau jangan harapkan kedua-duanya,” tambahnya.
Dalam kenyataan berasingan di X, Kementerian Luar Iran turut menyatakan bahawa Selat Hormuz “tidak disekat”.
Namun katanya, kapal yang “dimiliki pihak penceroboh tidak boleh dianggap sebagai laluan normal”.
“Bagi tidak bermusuhan, akan ditangani mengikut kerangka undang-undang yang terhasil daripada konflik dan keputusan serta tindakan pihak berkuasa Iran yang berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sejak awal Mac, Iran dilaporkan telah menutup secara berkesan Selat Hormuz, laluan utama minyak yang biasanya mengendalikan kira-kira 20 juta tong sehari serta sekitar 20 peratus perdagangan gas asli cecair global, kepada kebanyakan kapal.
Penutupan itu telah meningkatkan kos perkapalan dan insurans, menaikkan harga minyak serta mencetuskan kebimbangan ekonomi global.
Pada Sabtu, Presiden AS Donald Trump mengancam untuk “memusnahkan” loji kuasa Iran, bermula dengan yang terbesar jika Teheran tidak membuka laluan strategik itu dalam tempoh 48 jam.
Permusuhan di rantau itu semakin meningkat sejak serangan AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari lalu dengan Teheran bertindak balas melalui serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.- Bernama- Anadolu
Ringkasan AI
- Menteri Luar Iran menyatakan Selat Hormuz terbuka tapi kapal takut melalui laluan itu selepas serangan AS-Israel
- Abbas Araghchi menegaskan kekhuatiran syarikat insurans terhadap konflik yang dimulai bukan oleh Iran
- Dia menekankan pentingnya menghormati kebebasan pelayaran dan perdagangan
- Iran menegaskan kapal yang dimiliki pihak penceroboh akan ditangani sesuai hukum konflik
- Presiden AS Donald Trump mengancam akan memusnahkan loji kuasa Iran jika Selat Hormuz tidak dibuka



