‘Sudah tentu ada rasa pedih dan kecewa’ – Cklamovski

‘Sudah tentu ada rasa pedih dan kecewa’ – Cklamovski

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui bahawa isu luar padang yang mengakibatkan Malaysia terlepas tiket ke Piala Asia 2027 merupakan satu tamparan hebat buat dirinya dan seluruh pasukan.

Tegas pengendali kelahiran Australia itu, beliau berasa kecewa memandangkan kegagalan tersebut berpunca daripada perkara yang di luar kawalan pasukan.

Namun, beliau menjelaskan perancangan jangka panjang untuk membawa Malaysia ke Piala Dunia tidak terkubur.

“Saya juga pernah menyatakan ada sasaran jangka pendek iaitu untuk layak ke Piala Asia. Namun, sasaran itu kini telah hilang sepenuhnya disebabkan sesuatu yang di luar urusan bola sepak, sesuatu yang di luar kawalan kami.

“Sudah tentu ada rasa pedih dan ada kekecewaan. Bagaimanapun, ia tetap tidak memadamkan visi jangka panjang untuk membawa negara ini ke Piala Dunia,” katanya.

Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah membatalkan kemenangan Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Asia ke atas Vietnam dan Nepal.

Keputusan itu dibuat susulan skandal pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain, sekali gus menyaksikan impian skuad negara untuk beraksi di pentas tertinggi Asia itu berkubur.

Meskipun dihimpit badai kontroversi itu, Cklamovski menegaskan beliau tidak akan meninggalkan perjuangan dan tetap komited untuk terus membimbing pasukan kebangsaan.

Malah, beliau mengakui sudah mempunyai ikatan emosi yang cukup kuat dengan skuad Harimau Malaya sejak menggalas tanggungjawab itu setahun yang lalu.

“Saya boleh katakan bahawa saya telah jatuh cinta dengan negara ini. Saya sudah jatuh cinta dengan Harimau Malaya.

“Kira-kira 12 bulan yang lalu, saya duduk di sini buat kali pertama di hadapan anda semua dan menyatakan bahawa wujud visi jangka panjang untuk membawa pasukan ini ke Piala Dunia.

“Ia sememangnya satu impian yang besar. Kita mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mencapainya, namun tiada apa yang berubah dalam hal tersebut (sasaran ke Piala Dunia),” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai langkah ke hadapan bagi memulihkan maruah bola sepak negara, Cklamovski menyeru agar seluruh ekosistem bola sepak tempatan bersatu hati.

Beliau percaya kebangkitan Harimau Malaya hanya akan berlaku sekiranya semua pihak mengetepikan kepentingan peribadi demi agenda nasional.

“Bagi memastikan hal itu (Piala Dunia) berlaku, saya fikir seluruh ekosistem bola sepak Malaysia perlu bertambah baik, berkembang dan bersatu. Dengan cara itu, negara ini mampu mencapai impiannya,” jelas beliau.

Ringkasan AI

  • Peter Cklamovski kecewa Malaysia gagal ke Piala Asia 2027 akibat isu luar padang
  • Kegagalan ini tidak memadamkan harapan Malaysia untuk ke Piala Dunia
  • AFC membatalkan kemenangan Harimau Malaya terhadap Vietnam dan Nepal akibat skandal pemalsuan dokumen
  • Cklamovski berkomitmen kekal bimbing pasukan kebangsaan, mengakui sudah bina ikatan emosi
  • Mengajak ekosistem bola sepak Malaysia bersatu demi mencapai impian ke Piala Dunia
Scroll to Top