Indonesia rancang penjimatan besar

Indonesia rancang penjimatan besar
Indonesia rancang penjimatan besar

Ketegangan di Asia Barat menyebabkan kejutan besar pada harga minyak dunia. Foto Agensi

JAKARTA – Indonesia sedang menyasarkan penjimatan sehingga 80 trilion rupiah (RM18.5 bilion) untuk menampung ekonominya daripada impak konflik di Asia Barat.

Pejabat Presiden Prabowo Subianto pada Isnin mengesahkan langkah mengurangkan perbelanjaan itu, namun tidak memperincikan sumber dana tersebut.

Negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu juga mempertimbangkan langkah bagi menjimatkan penggunaan bahan api termasuk pelaksanaan satu hari bekerja dari rumah untuk penjawat awam dan beberapa sektor kerajaan dalam masa terdekat.

Menerusi wawancara pada minggu lalu, Prabowo memberi jaminan pemerintah melakukan segala usaha untuk mengurangkan kos dan meningkatkan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui terutamanya tenaga solar.

“Masih ada banyak langkah penjimatan lain yang boleh kita laksanakan,” katanya.

Setakat ini, pemerintah juga teguh mempertahankan subsidi bahan api yang menampung kira-kira 30 hingga 40 peratus kos bagi pengguna dan mewakili sekitar 15 peratus daripada belanjawan negara.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada matlamat Prabowo untuk meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi daripada 5.1 peratus tahun lalu kepada lapan peratus menjelang 2029 yang didorong oleh perbelanjaan awam.

Tidak seperti kebanyakan negara jirannya, Indonesia masih belum berdepan situasi barisan panjang di stesen minyak walaupun harga minyak global melonjak. – Agensi

Ringkasan AI

  • Indonesia menyasarkan penjimatan sehingga 80 trilion rupiah untuk menampung ekonominya daripada impak konflik di Asia Barat
  • Langkah mengurangkan perbelanjaan disahkan oleh Pejabat Presiden Prabowo Subianto tanpa perincian sumber dana
  • Negara ini mengkaji pelaksanaan satu hari bekerja dari rumah untuk penjawat awam dan sektor kerajaan untuk menjimatkan penggunaan bahan api
  • Pemerintah berusaha mengurangkan kos dan meningkatkan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar
  • Pemerintah Indonesia mempertahankan subsidi bahan api yang menampung 30 hingga 40 peratus kos bagi pengguna
Scroll to Top