Stesen minyak mungkin ditutup di seluruh Bangladesh

Stesen minyak mungkin ditutup di seluruh Bangladesh
Stesen minyak mungkin ditutup di seluruh Bangladesh

Pemilik stesen minyak di Bangladesh memberi amaran bahawa stesen minyak di seluruh negara mungkin ditutup susulan kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat serta kekurangan bekalan bahan api yang berterusan.Foto Reuters.

DHAKA – Pemilik stesen minyak di Bangladesh memberi amaran bahawa stesen minyak di seluruh negara mungkin ditutup susulan kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat serta kekurangan bekalan bahan api yang berterusan, lapor United News of Bangladesh (UNB).

Persatuan Pemilik Stesen Minyak Bangladesh memaklumkan stesen minyak di seluruh negara kini berdepan “situasi kritikal” apabila peruntukan bekalan bahan api harian daripada syarikat tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.

Akibatnya, penunggang motosikal terpaksa beratur panjang selama berjam-jam untuk mengisi bahan api.

Pekerja stesen minyak turut berdepan tekanan fizikal dan mental yang serius akibat beban kerja berterusan, menurut persatuan itu, sambil menambah keadaan berkenaan boleh membawa kepada penutupan sepenuhnya stesen minyak sekiranya bekalan mencukupi tidak dijamin.

Organisasi itu turut mendakwa isu keselamatan dalam sektor pemasaran bahan api sebahagian besarnya diabaikan oleh kerajaan dan pentadbiran tempatan, sekali gus menyebabkan kekacauan yang semakin meningkat di stesen minyak.

Persatuan itu juga mendakwa terdapat kumpulan terancang yang memaksa stesen minyak beroperasi pada waktu malam dan mengambil bahan api.

Menurut persatuan berkenaan, selain kekurangan bahan api, risiko keselamatan turut meningkat termasuk ancaman rompakan terhadap lori tangki semasa penghantaran dari depot.

Ia memberi amaran bahawa melainkan keselamatan mencukupi dijamin dengan segera, pemilik stesen minyak mungkin terpaksa menghentikan pengambilan bekalan bahan api dari depot dan akhirnya menutup operasi.

Persatuan itu turut memaklumkan bahawa pada malam sebelum Aidilfitri, banyak stesen minyak tidak dapat menyimpan walaupun 200 liter oktana untuk perkhidmatan kecemasan seperti ambulans kerana bahan api diambil secara paksa selepas pam dibuka di bawah tekanan.

“Tanpa kehadiran kukuh agensi penguatkuasaan undang-undang di stesen minyak, tiada pilihan selain menghentikan pengambilan bahan api dari depot,” menurut kenyataan itu. – Bernama

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Pemilik stesen minyak di Bangladesh memberi amaran tentang penutupan stesen akibat kekurangan bahan api dan kebimbangan keselamatan
  • Peruntukan bahan api dari syarikat tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna yang meningkat
  • Penunggang motosikal terpaksa beratur panjang untuk mengisi bahan api
  • Pekerja stesen minyak mengalami tekanan fizikal dan mental yang serius
  • Terdapat ancaman keselamatan termasuk risiko rompakan terhadap lori tangki
Scroll to Top