Alia korban cuti raya, teruskan berlatih

Alia korban cuti raya, teruskan berlatih

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penembak wanita negara, Alia Sazana Azahari, sanggup mengorbankan cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini apabila memilih untuk meneruskan latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan penting termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Atlet kelahiran Terengganu itu berkata, dia akan terus menjalani latihan seperti biasa sepanjang sambutan Aidilfitri walaupun kebanyakan atlet lain mengambil peluang untuk pulang ke kampung.

Menurut penembak berusia 35 tahun itu, keputusan dibuat bagi memastikan tahap persiapan kekal konsisten selepas memulakan program latihan sejak awal tahun.

“Raya memang ada cuti, tetapi saya memilih untuk teruskan latihan. Jadi bagi saya raya hanyalah seperti hari biasa dan saya akan tetap berlatih.

“Saya tidak balik kampung ke Terengganu kerana mahu fokus kepada latihan,” katanya yang meraih gangsa di Sukan Sea Thailand tahun lalu dalam acara air pistol 25 meter.

Alia Sazana berkata kepada Arena Metro, situasi itu bukan sesuatu yang baharu kerana dia sudah lama terbiasa menyambut Aidilfitri jauh dari keluarga.

“Saya sudah hampir 20 tahun tidak beraya sepenuhnya seperti orang lain, jadi saya sudah biasa dengan keadaan ini.

“Malah kalau balik kampung pun rasa sedikit janggal kerana sudah terlalu lama dengan rutin latihan,” katanya.

Menurutnya, program latihan bagi musim 2026 sudah bermula sejak Januari lalu dengan tumpuan diberikan kepada persediaan fizikal dan teknikal.

“Kita sudah memulakan program latihan sejak Januari dengan fasa persediaan umum yang melibatkan latihan fizikal serta teknikal,” katanya.

Atlet yang memecahkan rekod Asia tahun lalu itu berkata, fokus utamanya kini adalah memperbaiki setiap aspek prestasi bagi menghadapi cabaran besar di pentas Sukan Asia.

“Sukan Asia memang sangat mencabar kerana banyak pesaing kuat dari Asia seperti Korea Selatan, China dan India.

“Tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil. Apa yang penting saya perlu memperbaiki teknik, mental dan juga latihan fizikal,” katanya.

Alia Sazana berkata, jadual latihannya juga cukup padat apabila menjalani latihan enam hari seminggu dengan dua sesi setiap hari.

Menurutnya, sesi latihan melibatkan latihan menembak, latihan gimnasium serta program pemulihan yang dipantau oleh jurulatih dan pakar Institut Sukan Negara (ISN).

“Sesi latihan biasanya pagi dan petang. Ada hari kita fokus latihan menembak dan ada hari kita gabungkan dengan latihan gim,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top