Penangan suntikan kurus, jualan 'fish and chips' di UK merosot

Penangan suntikan kurus, jualan 'fish and chips' di UK merosot

Lincolnshire, United Kingdom: Suntikan penurunan berat badan dan penekanan terhadap gaya hidup sihat kini mengurangkan permintaan terhadap kentang serta menjejaskan perniagaan ‘fish and chips’ di United Kingdom (UK).

Petani di seluruh UK berkata, mereka mungkin terpaksa membuang ribuan kentang yang disimpan akibat penurunan jualan, lapor Metro UK.

Pemilik ladang, Andy Goodacre, 65, kini berdepan ‘gunung kentang’ yang tidak dapat dijual selepas permintaan daripada pasar raya dan pembekal kentang goreng merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dia percaya penggunaan meluas suntikan penurunan berat badan seperti Mounjaro dan Ozempic, serta pilihan makanan yang lebih sihat, menjadi punca utama.

Pelanggan kedai ‘fish and chips’ juga kini memilih saiz hidangan lebih kecil dan berkongsi kentang goreng, menunjukkan pengguna mementingkan kesihatan yang memberi kesan kepada perniagaan itu.

Andy yang berasal dari Grantham, Lincolnshire berkata, lebih £120,000 (RM678,000) nilai kentang terbaiknya – kira-kira 600 tan – berisiko dibuang selepas pembeli utama, McCain, gagal membuat tempahan.

Bapa kepada dua anak itu yang telah membekalkan kentang kepada syarikat berkenaan selama 40 tahun berkata, pengguna kini kurang membeli kerepek dan kentang goreng, sebaliknya memilih alternatif lebih sihat seperti produk berasaskan lentil.

Andy berkata, selama 40 tahun menanam kentang untuk McCain dan Seabrooks, namun kontrak mereka menjadi lebih ketat.

“Tahun ini kami tidak menandatangani sebarang kontrak dan kini kami tidak menerima sebarang pesanan. Kami terpaksa menanggung ‘gunung kentang’ yang tidak dapat dijual. Saya tidak pernah melihat musim seperti ini. Saya rasa terdapat banyak faktor.

“Terdapat lebihan bekalan dari tahun lalu yang menekan pasaran sejak awal. Kemudian ada faktor suntikan penurunan berat badan, di mana orang makan lebih sedikit dan tidak lagi kerap ke kedai ‘fish and chips’,” katanya.

Andy berkata, dia telah berbincang dengan pemilik kedai ‘fish and chips’ dan mendapati ramai pelanggan kini berkongsi satu hidangan, berbanding membeli sendiri.

“Suntikan itu mengurangkan selera makan, orang makan lebih sedikit. Terdapat puluhan ribu orang menggunakannya.

“Saya tinggal di kampung kecil dan saya kenal ramai yang menggunakannya, jadi ia memang memberi kesan. Permintaan semakin berkurangan disebabkan perkara ini. Nampaknya orang tidak lagi makan seperti dahulu,” katanya.

Andy berkata, lima jenis kentang terbaiknya kini masih dalam simpanan, tetapi masa semakin suntuk untuk menjualnya sebelum rosak menjelang awal April.

“Dalam keadaan biasa, nilainya sekitar £200 (RM1,050) satu tan, jadi kira-kira £120,000 (RM630,000). Pada tahun yang lebih baik, ia boleh mencecah £300 (RM1,575) satu tan, jadi nilainya lebih tinggi.

“Ia telah disimpan sejak Oktober dan biasanya boleh bertahan sehingga enam bulan, jadi masa kami sangat terhad. Saya lebih suka menyumbangkannya kepada bank makanan jika ada pihak yang sanggup mengambilnya. Jika tidak, ada risiko ia akan dijadikan makanan ternakan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Fish Friers, Andrew Crook berkata, trend itu turut menjejaskan kedai ‘fish and chips’.

“Memang ada faktor kos sara hidup menyebabkan perniagaan mengurangkan saiz hidangan, yang boleh mengakibatkan kehilangan jumlah kentang yang besar secara nasional.

“Namun, faktor suntikan penurunan berat badan juga jelas memainkan peranan. Ramai orang yang saya temui menggunakannya dan saya lihat ramai pelanggan saya telah menurunkan berat badan. Jelas bahawa penggunaan suntikan ini menyebabkan orang makan sedikit,” katanya.

Andrew berkata, sekiranya petani tidak memperoleh keuntungan daripada kentang tahun ini, hasil tanaman pada 2027 mungkin tidak mencukupi kerana mereka mungkin beralih kepada tanaman lain.

“Sebahagian petani mempunyai banyak stok yang masih disimpan. Menjelang Jun atau Julai, ia akan hilang nilai dan boleh menjejaskan sebahagian besar pendapatan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top