IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menggantung tugas dua anggotanya selepas dirakam memandu kenderaan pasukan secara berbahaya di Jeli, Kelantan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, berdasarkan video tular, kenderaan berkenaan didapati melakukan kesalahan lalu lintas dengan memotong di garisan berkembar.
Katanya, tindakan pergantungan itu diambil bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan terhadap kes berkenaan.
“Kita telah mengambil tindakan menggantung tugas terhadap anggota yang terlibat dan memberi jaminan kepada orang awam bahawa siasatan dalaman yang dijalankan adalah secara telus.
“Kita tidak akan melindungi mana-mana anggota atau pegawai sekiranya didapati melakukan kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan Pemantauan Operasi Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pusat Kawalan Menora, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.
Mengulas lanjut beliau mengesahkan bahawa kenderaan pasukan itu juga merupakan kenderaan sama yang terlibat dalam nahas membabitkan sebuah Perodua Myvi di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, Jumaat lalu.
Katanya, kemalangan maut mengorbankan seorang lelaki berusia 25 tahun itu berlaku sehari selepas Toyota Fortuner milik JPJ itu dirakam memotong garisan berkembar.
“Lokasi kemalangan adalah di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli pada 20 Mac lalu kira-kira pukul 4.30 petang.
“Manakala kejadian tular melibatkan tindakan memotong di garisan berkembar berlaku di Kilometer 129, Hentian Damai, Lebuh Raya Timur–Barat, Jeli pada 19 Mac lalu kira-kira pukul 3 petang.
“Dua kejadian tersebut melibatkan kenderaan pasukan dan anggota yang sama cuma tarikh kejadian sahaja berbeza,” katanya.
Tambah beliau, siasatan bagi video memotong garisan berkembar akan dikendalikan oleh JPJ manakala kes kemalangan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita minta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kedua-dua kejadian tersebut kerana ia melibatkan situasi dan masa yang berbeza,” katanya. – UTUSAN




