1.2 hektar hutan di Gelugor terbakar

1.2 hektar hutan di Gelugor terbakar

Georgetown: Kawasan hutan seluas kira-kira 1.2 hektar di Taman Bukit Gambir, Gelugor dekat sini terbakar tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.51 tengah hari dengan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak tiba di lokasi pada 2.07 petang.

“Operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor dan teknik fire break (pemisah kebakaran) turut digunakan bagi mengelak api daripada merebak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata operasi melibatkan sembilan anggota serta bantuan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti.

John Sagun berkata kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 4.15 petang manakala pemeriksaan lanjut masih dijalankan dengan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top