am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor akan mengesan serta memanggil pemilik sebuah kenderaan yang tular kerana mengisi petrol RON95 dalam tong plastik dalam kuantiti yang banyak, bagi tujuan siasatan lanjut.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan proaktif dengan menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak yang terbabit dengan kejadian itu iaitu di sekitar kawasan Skudai di sini.
“Kita mengambil maklum berhubung satu hantaran media sosial yang tular membabitkan sebuah kenderaan yang dipercayai mengisi petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam kuantiti yang banyak.
“KPDN Johor juga akan mengambil tindakan susulan dengan mengesan serta memanggil pemilik kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kejadian berlaku pada Sabtu lalu dan berlaku dua transaksi dibuat pemilik kenderaan iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan, manakala satu lagi ke dalam tong plastik yang diletakkan di dalam but kenderaan.
“Pemeriksaan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah dibuat serta penelitian terhadap rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan.
“Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95, iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan manakala satu lagi diisi ke dalam tong plastik di bahagian but kenderaan dengan kuantiti yang melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.
“Dalam pemeriksaan itu, pasukan penguat kuasa KPDN sudah memberikan peringatan kepada pihak pengurusan stesen minyak supaya sentiasa mematuhi peraturan serta meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.
Menurut Lilis Saslinda, satu tindakan kes sudah diambil di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu dan bagi syarikat, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.
Malam tadi, Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, MOF akan mengambil tindakan dengan menyekat kad pengenalan yang telah digunakan dalam transaksi pembelian petrol RON95 itu serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati BUD195.
“MOF memandang serius video tular di media sosial yang memaparkan individu mengisi petrol RON95 ke dalam tong atau bekas kosong di salah sebuah stesen minyak.
“Siasatan mendapati individu terbabit adalah warganegara Malaysia dan pemegang MyKad.
“Perbuatan ini jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95 dan ini berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar dan berkesan,” jelasnya.
Menurut MOF, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi, khususnya dalam ketidaktentuan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




