Harga mahal tujuh dokumen palsu

Harga mahal tujuh dokumen palsu

SKUAD Harimau Malaya kini terpaksa membayar harga yang cukup mahal akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab memalsukan dokumen tujuh ‘pemain warisan’.

Kesan daripada skandal integriti itu bukan sekadar mencalar imej negara di mata dunia, malah menyaksikan kejatuhan mendadak ranking kebangsaan yang sebelum ini berada pada tahap memberangsangkan.

Jatuh daripada tangga ke-116 ke tangga ke-135 dalam tempoh yang singkat adalah satu malapetaka besar buat bola sepak negara.

Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan memberikan kemenangan percuma 0-3 kepada pasukan lawan.

Tindakan itu menyebabkan Harimau Malaya sebelum ini terkeluar daripada kelompok 120 terbaik dunia apabila jatuh dari tangga ke-116 ke kedudukan ke-121.

Bagaimanapun, situasi menjadi semakin parah apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut mengambil tindakan serupa terhadap dua perlawanan Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam dan Nepal yang turut menggunakan khidmat pemain terbabit.

Keputusan AFC yang mengisytiharkan Malaysia kalah 0-3 dalam perlawanan tersebut bukan sahaja merentap mata ranking negara, malah mengesahkan kegagalan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2027.

Apa yang lebih menyedihkan, kejatuhan ini bukan berpunca daripada kelemahan taktikal di atas padang atau ketiadaan bakat pemain, sebaliknya ia adalah hasil daripada tindakan di luar padang.

Bayangkan usaha keras pemain yang sah dan tulen di atas padang dalam perlawanan menentang Cape Verde, Singapura, Palestin, Vietnam dan Nepal dipadamkan begitu sahaja dengan kemenangan percuma 0-3 kepada lawan.

Ini pastinya meruntuhkan motivasi pemain sedia ada yang telah memberikan keringat demi lencana di dada.

Gagal ke Piala Asia

Impak paling perit adalah pengesahan kegagalan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2027.

Keputusan AFC itu meragut impian penyokong untuk melihat kelangsungan prestasi negara selepas edisi 2023 di Qatar dan ini merupakan satu langkah ke belakang yang amat besar buat pembangunan bola sepak negara.

Saingan peringkat tertinggi seperti Piala Asia sepatutnya menjadi platform utama untuk pemain meningkatkan mutu permainan dan meraih pendedahan antarabangsa, namun impian itu kini terkubur dan perlu menunggu pada tahun 2031.

Selain tamparan hebat terhadap ranking FIFA, badan induk bola sepak negara juga kini terpaksa menanggung beban kewangan yang sangat tinggi melalui denda yang dikenakan.

Malah, skandal pemalsuan dokumen dan hukuman berat daripada FIFA serta AFC ini secara tidak langsung mengakibatkan merosotnya kepercayaan penyokong setia Harimau Malaya.

Ia turut memberi isyarat buruk kepada pelabur dan penaja yang mungkin berfikir dua kali sebelum menyalurkan dana kepada skuad kebangsaan pada masa hadapan.

Kini, Harimau Malaya bukan sahaja perlu bergelut untuk membina semula prestasi dan meningkatkan ranking, malah perlu bekerja keras untuk memulihkan semula maruah dan integriti yang telah tercalar teruk.

Ringkasan AI

  • Harimau Malaya membayar harga mahal akibat pemalsuan dokumen tujuh ‘pemain warisan’
  • Kesan skandal menyebabkan jatuh mendadak ranking FIFA dari tangga ke-116 ke tangga ke-135
  • FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan, memberi kemenangan percuma 0-3 kepada lawan
  • Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut mengisytiharkan Malaysia kalah 0-3 dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia, mengesahkan kegagalan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2027
  • Skandal ini merosakkan motivasi pemain, meningkatkan beban kewangan dan mengurangkan kepercayaan penyokong serta pelabur
Scroll to Top