KUALA LUMPUR: Pelakon Aprena mengakui kini lebih selesa memberi ruang kepada dirinya sendiri selepas melalui episod perceraian yang mengubah perjalanan hidupnya.
Menurut Aprena, selepas sekian lama berada dalam hubungan, dia merasakan sudah tiba masanya untuk memberi perhatian kepada diri sendiri dan menikmati kehidupan secara lebih tenang.
“Sejujurnya saya sudah berada dalam hubungan selama kira-kira 14 tahun. Saya mula bercinta sejak umur 18 tahun dan kemudian berkahwin pada umur 23 tahun.
“Jadi sekarang ini saya rasa inilah masa untuk saya sayang diri sendiri dahulu,” katanya.
Tambahnya, walaupun tidak mengalami trauma selepas berpisah, namun tempoh yang panjang dalam hubungan membuatkan dia berasa penat dan memerlukan masa untuk dirinya sendiri.
“Bukanlah kata trauma sangat, cuma penat juga sebenarnya bila lama berada dalam hubungan. Jadi buat masa ini saya mahu fokus kepada diri sendiri dahulu, mungkin dua atau tiga tahun mahu kekal single,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aprena tidak menafikan terdapat individu yang cuba mendekatinya selepas dia kembali solo.
Katanya, pada awalnya dia pernah terfikir sama ada masih ada yang sudi berkawan dengannya selepas bergelar janda.
“Alhamdulillah, ada sahaja yang mahu berkawan atau berkenalan secara serius. Dulu saya pernah terfikir juga, ada ke orang nak berkawan dengan janda. Tapi sebenarnya ada sahaja.
“Cuma buat masa ini belum ada yang benar-benar membuka hati saya untuk melangkah ke arah yang lebih serius,” jelasnya.
Menurutnya lagi, semua individu yang hadir dalam hidupnya selepas perceraian merupakan orang yang baik, namun dia masih mahu memberi ruang kepada dirinya sebelum kembali menjalinkan hubungan serius.
Dalam perkembangan lain, Aprena turut berkongsi perbezaan suasana sambutan Aidilfitri di Malaysia dan Indonesia memandangkan keluarganya mempunyai pertalian di kedua-dua negara.
“Kalau di Indonesia suasananya mungkin lebih meriah sedikit. Di sana seawal pukul tujuh pagi sudah ada orang berarak dan membuat bunyi-bunyian untuk memeriahkan suasana raya.
“Selepas itu biasanya semua orang akan berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga,” katanya.
Menurutnya, hidangan yang disajikan ketika Hari Raya di Indonesia juga tidak jauh berbeza dengan di Malaysia, antaranya rendang, namun dengan gaya masakan tersendiri.
“Biasanya saya juga akan bagi duit raya kepada anak-anak saudara di sana. Kadang-kadang kami buat permainan kecil supaya mereka boleh menang duit raya. Itu antara perkara yang mereka paling suka,” katanya.




