150 hektar ladang kelapa sawit di Nenasi pula terbakar

150 hektar ladang kelapa sawit di Nenasi pula terbakar

Kuantan: Sebuah lagi ladang kelapa sawit di Nenasi, Pekan, terbakar sejak semalam dengan luas kebakaran meliputi kawasan 150 hektar.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran di ladang keseluruhan seluas 500 hektar itu.

“Setakat ini, kebakaran di 48 hektar kawasan telah berjaya dipadamkan. Operasi pemadaman dibahagikan kepada dua kumpulan menggunakan satu unit pam angkut dengan dua aliran sepanjang 91.4 meter yang mendapatkan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan bantuan Unit Udara Bomba bagi mempercepat operasi pemadaman berikutan cabaran kekangan akses ke lokasi kebakaran yang menyukarkan pergerakan jentera dan anggota.

Wan Ahmad Fadillah berkata, pada masa sama, pasukan bomba turut menjalankan operasi pemadaman kebakaran di ladang kelapa sawit di Kampung Jemeri, Kuala Rompin melibatkan kawasan seluas kira-kira 292 hektar yang memasuki hari kedua operasi.

“Sebanyak 6.07 hektar kawasan terbakar berjaya dipadamkan manakala operasi pemadaman di kawasan baki yang dianggarkan kira-kira 286 hektar dijalankan menggunakan satu unit pam angkut dengan hos sepanjang 182.8 meter serta dua pancutan air,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan 28 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi dan BBP Kuala Rompin bersama beberapa aset termasuk jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), kenderaan pacuan empat roda serta lori sokongan.

“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terjejas,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran melalui talian kecemasan 999.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top