Washington: Seorang wanita yang mendakwa dibius dan diserang secara seksual oleh penghibur veteran Amerika Syarikat (AS), Bill Cosby dianugerahkan lebih daripada AS$19 juta (RM74 juta) pada Isnin selepas satu perbicaraan sivil di California.
Donna Motsinger berkata, dia bekerja sebagai pelayan lebih 50 tahun lalu apabila penghibur itu mula menyasarkan dirinya.
Perbicaraan di Santa Monica diberitahu bahawa pelawak terbabit pada mulanya datang ke restoran tempat kerja Motsinger yang kini berusia 84 tahun.
Suatu hari, ketika dijemput menaiki limosin milik Cosby, dia diberikan segelas wain dan sesuatu yang disangkanya aspirin.
Dia mula hilang dan sedar semula secara berselang-seli dan perkara seterusnya yang disedari ialah dia terjaga di rumah hanya memakai pakaian dalam.
“Dia tahu bahawa dia dibius dan dirogol oleh Bill Cosby,” menurut saman terbabit.
Peguam berkata, Cosby, 88, tidak mengingati sebarang hubungan seksual dengan Motsinger, namun jika ada, ia berlaku secara suka sama suka.
Juri mengambil masa tiga hari untuk membuat keputusan sebelum mengarahkan Cosby membayar AS$19.3 juta (RM76.18 juta) jumlah yang mungkin meningkat sekiranya ditambah ganti rugi punitif.
Kes itu didengar di mahkamah sama di mana juri pada 2022 mengarahkan Cosby membayar AS$500,000 (RM19 juta) sebagai ganti rugi kepada Judy Huth selepas mendapati dia mencabul wanita itu pada 1975 ketika mangsa berusia hanya 16 tahun.
Lelaki yang pernah dikenali sebagai ‘Bapa Amerika’ itu dipenjarakan di Pennsylvania kerana membius dan mencabul seorang wanita dalam kes jenayah berasingan pada 2018, namun dibebaskan pada 2021 apabila sabitannya dibatalkan atas alasan teknikal.
Cosby adalah tokoh besar dalam budaya popular Amerika pada akhir abad ke-20 termasuk menerusi peranannya dalam rancangan The Cosby Show yang disiarkan dari 1984 hingga 1992.
Puluhan wanita menuduh Cosby sebagai pemangsa bersiri licik yang menggunakan ubat pelali dan alkohol untuk melemahkan mangsa sebelum menyerang mereka sepanjang tempoh empat dekad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




