am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kedah akan menganjurkan solat sunat istisqa’ di seluruh daerah pada Khamis ini sebagai usaha memohon rahmat hujan susulan cuaca panas melanda negeri itu
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, ikhtiar itu juga susulan beberapa daerah yang kini berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah celsius.
Katanya, pelaksanaan solat sunat itu akan diselaraskan oleh Pejabat Agama Daerah masing-masing mengikut kesesuaian waktu.
“Setakat ini pembenihan awan peringkat pusat yang buat, tetapi di peringkat negeri tidak dengar cerita lagi, tetapi kita cuba buat sembahyang sunat dulu, insya-Allah kalau hujan, ia boleh imbang sedikit.
“Setiap daerah akan anjurkan sendiri pada Khamis ini bergantung kepada keadaan, ada yang buat pagi, petang atau waktu sesuai kerana cuaca sekarang terlalu panas,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mansor memaklumkan semua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan hospital di Kedah berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kes berkaitan cuaca panas.
Bagaimanapun, katanya, belum ada kes strok haba direkodkan.
“Ketika ini kita berdepan kekurangan hujan, paras sungai dan empangan juga semakin susut, malah ada beberapa kawasan mengalami masalah bekalan air.
“Saya nasihatkan orang ramai supaya kurangkan aktiviti luar seperti beraya, rumah terbuka, sukan dan riadah selain minum air kosong secukupnya.
“Pembakaran terbuka juga perlu dielakkan kerana keadaan cuaca panas dan kering mudah menyebabkan kebakaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



