Florence: Menjelang ulang tahun ke-100 pada Ogos ini, Fiorentina terus berdiri megah sebagai kelab yang dibentuk bukan semata-mata oleh trofi, tetapi oleh kesetiaan dan jiwa penyokongnya.
Sejarah kelab Itali itu lebih banyak dihiasi episod hampir berjaya berbanding kejayaan sebenar, namun kegagalan demi kegagalan tidak pernah memadamkan semangat penyokong mereka.
Trofi domestik utama terakhir dimenangi Fiorentina adalah Coppa Italia 2001, manakala era kegemilangan sebenar mereka berlaku sekitar 1960-an apabila menjulang Piala Pemenang Piala Eropah, dua Coppa Italia dan satu gelaran Serie A.
Namun dalam era moden, kisah hampir berjaya terus menghantui mereka apabila tewas dalam final Liga Konferens Europa 2023 dan 2024, selain kalah di final Coppa Italia 2023.
“Bukan mudah untuk menyokong pasukan seperti Fiorentina. Kami sudah melalui banyak penderitaan, di dalam dan luar padang. Orang luar selalu tanya kenapa kami masih setia walaupun jarang menang, tapi semangat itu masih ada,” kata Presiden kelab penyokong, Antonio Bucciarelli.
Musim ini juga tidak lari daripada skrip sama. Harapan tinggi pada awal musim musnah selepas prestasi hambar menyaksikan jurulatih Stefano Pioli dipecat seawal November.
Namun kehadiran Paolo Vanoli menghidupkan semula harapan apabila Fiorentina kembali bangkit, malah berjaya mara ke suku akhir Liga Konferens Europa untuk bertemu Crystal Palace.
“Saya sudah biasa dengan penderitaan ini. Tapi untuk generasi muda, saya hanya pesan – tunggu. Satu hari nanti kita akan menang dan semuanya akan berbaloi,” katanya.
Menjelang ulang tahun ke-100, suasana di Florence dipenuhi rasa bangga, walaupun dihimpit ketidakpastian susulan pemergian dua figura penting kelab, Joe Barone dan Rocco Commisso.
Bagi penyokong setia, ulang tahun itu bukan sekadar tentang kedudukan liga atau trofi, sebaliknya mengenai identiti, kenangan dan rasa kekitaan yang tidak ternilai.
“Tanpa Fiorentina, siapa saya? Ia bukan sekadar bola sepak, tetapi tentang persahabatan, kenangan dan jiwa kota Florence itu sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




