Hamilton, Kanada: Perwakilan tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memaklumkan bahawa “kapal bukan musuh” dibenarkan menggunakan Selat Hormuz dengan syarat tidak terbabit dalam sebarang tindakan agresif terhadap Tehran.
Menurut kenyataan yang disiarkan menerusi platform media sosial X, kapal bukan musuh termasuk milik atau berkaitan negara lain boleh memanfaatkan laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Kelonggaran ini diberikan selagi aset maritim berkenaan tidak menyertai atau menyokong serangan ke atas Iran, selain mematuhi sepenuhnya peraturan keselamatan yang ditetapkan menerusi penyelarasan dengan pihak berkuasa Iran yang kompeten.
Makluman ini muncul ketika ketegangan di Asia Barat kian meruncing sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari lalu. Operasi itu meragut lebih 1,340 nyawa setakat ini, termasuk bekas Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran membalas serangan itu menerusi bedilan dron dan peluru berpandu berulang kali yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
Laluan Selat Hormuz terganggu sejak awal Mac. Kebiasaannya, sekitar 20 juta tong minyak melalui kawasan ini setiap hari. Gangguan yang berlaku telah menyebabkan kos penghantaran meningkat dan melonjakkan harga minyak global ke paras lebih tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd



