London: Arsenal berada di landasan terbaik ke separuh akhir selepas menewaskan Chelsea 3-1 dalam aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah wanita di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Tiga jaringan Arsenal disumbangkan Stina Blackstenius, Chloe Kelly dan Alessia Russo, manakala Chelsea meraih gol sagu hati menerusi Lauren James.
Kemenangan itu memberikan kelebihan buat juara bertahan Arsenal menjelang aksi timbal balik di Stamford Bridge minggu depan.
Pengendali Arsenal, Renee Slegers mengakui perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang.
“Perlawanan sangat seimbang hari ini. Kedua-dua pasukan ada detik masing-masing, tetapi kami lebih tajam dan klinikal dalam menyempurnakan peluang,” katanya.
“Ada perubahan momentum dalam permainan. Mereka bermula dengan baik, tetapi kami kekal fokus. Saya sangat berpuas hati dengan keseluruhan aksi pasukan.”
Arsenal membuka tirai jaringan pada minit ke-22 menerusi tandukan Blackstenius hasil sepakan percuma Katie McCabe.
Pasukan tuan rumah menggandakan kelebihan 10 minit kemudian apabila Chloe meledak rembatan jarak jauh menewaskan penjaga gol Chelsea, Hannah Hampton.
Chelsea yang terdesak cuba bangkit, namun jaringan Veerle Buurman sebelum rehat dibatalkan selepas semakan sistem bantuan video pengadil (VAR) susulan kekasaran ke atas Laia Codina.
Pasukan pelawat akhirnya merapatkan jurang pada minit ke-66 menerusi sepakan lencong menarik Lauren James dari luar kotak penalti.
Bagaimanapun, Alessia memastikan Arsenal kembali selesa apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-76 sekali gus gol kelapannya dalam kejohanan itu musim ini.
Dalam masa kecederaan, Chelsea sekali lagi kecewa apabila jaringan Kadeisha Buchanan dibatalkan atas kesalahan ke atas penjaga gol Arsenal.
Pengendali Chelsea, Sonia Bompastor tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.
“Ia tidak cukup baik. Untuk perlawanan suku akhir, kita perlukan pengadil terbaik, lebih-lebih lagi apabila ada VAR.
“Saya rasa agak keterlaluan apabila gol kami dibatalkan sedangkan ia jaringan yang sah,” katanya.
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula pada 2 April ini di Stamford Bridge bagi aksi timbal balik, dengan pemenang bakal berdepan Wolfsburg atau Lyon di separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd



