Hubungan dengan anak masih keruh, Nourul dedah ada hasutan pihak ketiga

Hubungan dengan anak masih keruh, Nourul dedah ada hasutan pihak ketiga

PETALING JAYA: Penyanyi, Nourul Depp mengakui hubungannya dengan anak sulung, Ayu Nazirah, masih belum pulih walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjernihkan keadaan.

Menurut Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, beliau tidak menolak kemungkinan wujud pengaruh pihak ketiga yang mencetuskan konflik sehingga menyukarkan usaha mendamaikan hubungan keluarga tersebut.

“2022 bukanlah tahun yang mudah untuk saya, manakala 2023 pula paling mencabar apabila perniagaan terjejas. Namun, yang paling merobek hati adalah apabila ada pihak ketiga yang memberi ‘idea’ kepada anak kita.

“Kita tidak mampu mengawal perkara itu. Anak mempunyai kehidupan sendiri dan ingin meneroka, itu saya faham. Namun apabila ada pihak luar yang menghasut demi kepentingan sendiri, itu yang menimbulkan kemarahan,” katanya menerusi temu bual dalam program audio siar Bukak Mulut yang tular, baru-baru ini.

Penyanyi lagu Keliru itu berkata, beliau merasakan telah melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dengan menyediakan pendidikan terbaik. Kini, beliau memilih untuk berserah kepada Allah dalam menghadapi ujian tersebut.

Bagaimanapun, Nourul tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan apabila hubungan mereka masih tidak pulih, termasuk ketika beliau berdepan masalah kesihatan.

“Saya sudah berusaha sedaya upaya, termasuk ketika menjalani pembedahan. Namun, respons yang diterima hanya ‘semoga cepat sembuh’. Itu bukan lagi layanan antara anak dengan ibu.

“Saya serahkan segalanya kepada Allah. Sebagai ibu bapa, kita akan rasa sakit walaupun anak terluka sedikit. Kita tidak mahu mereka kecewa, tetapi dalam masa sama perlu membiarkan mereka belajar daripada pengalaman.

“Jika ingin belajar tentang kehidupan, tiada masalah. Namun, jangan sampai memutuskan hubungan,” katanya.

Dalam pada itu, Nourul berkongsi pengajaran mengenai batas dalam hubungan ibu bapa dan anak. Beliau mengakui kesilapannya sebelum ini yang terlalu cuba menjadi ‘kawan’ kepada anak sehingga menghakis rasa hormat.

“Saya silap kerana cuba menjadikan anak sebagai kawan. Hakikatnya, ibu bapa dan anak tidak boleh menjadi kawan sepenuhnya.

“Kita boleh bersikap terbuka, tetapi perlu diingat, saya adalah ibu kamu. Ada batas yang tidak boleh dilanggar,” tegasnya.

Terdahulu, kemelut hubungan antara Nourul dan Ayu Nazirah mula mendapat perhatian sejak 2023 apabila mereka didakwa mula bermasam muka. -UTUSAN

Scroll to Top