
Gambar menunjukkan serpihan peluru berpandu AGM-158 JASSM yang ditembak jatuh di Iran.-Agensi
TEHERAN – Sistem pertahanan udara Iran berjaya memintas dan memusnahkan beberapa peluru berpandu pelayar canggih milik Amerika Syarikat di ruang udara berhampiran Teheran serta di wilayah Markazi.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan kejayaan itu berlaku ketika Iran melaksanakan langkah pertahanan dan serangan balas susulan pencerobohan oleh Amerika Syarikat dan Israel sejak akhir bulan lalu.
Menurut kenyataan Pejabat Perhubungan Awam IRGC, dalam beberapa jam kebelakangan ini, sistem pertahanan udara canggih yang beroperasi di bawah rangkaian pertahanan udara bersepadu negara berjaya mengesan serta memintas dua peluru berpandu pelayar jenis AGM-158 JASSM di sekitar Teheran.
Peluru berpandu AGM-158 atau Joint Air-to-Surface Standoff Missile (JASSM) merupakan senjata jarak jauh berteknologi siluman yang dibangunkan oleh Lockheed Martin untuk kegunaan Tentera Udara Amerika Syarikat, dan direka bagi menembusi sistem pertahanan udara moden.
Dalam operasi berasingan, unit pertahanan udara IRGC turut berjaya menjejak serta memusnahkan satu lagi peluru berpandu jenis sama di ruang udara wilayah Markazi di tengah Iran.
Sejak tercetusnya konflik, angkatan tentera Iran dilaporkan telah menembak jatuh sekurang-kurangnya enam pesawat perang musuh selain memusnahkan kira-kira 200 dron serta peluru berpandu pelayar.-Agensi
Ringkasan AI
- Sistem pertahanan udara Iran memintas dan memusnahkan beberapa peluru berpandu pelayar Amerika di Teheran dan Markazi
- Kor Pengawal Revolusi Islam mengumumkan kejayaan itu sebagai langkah pertahanan balas terhadap pencerobohan AS dan Israel
- Sistem pertahanan udara mengesan dan memintas dua peluru berpandu AGM-158 JASSM di sekitar Teheran
- Peluru berpandu AGM-158 adalah senjata siluman jarak jauh yang dibangunkan oleh Lockheed Martin
- Satu lagi peluru berpandu jenis sama dimusnahkan di wilayah Markazi


