rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 29 Mac dan akan berterusan sehingga Mei depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 13 November lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, semasa fasa peralihan itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
“Keadaan ini boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat beserta angin kencang dalam tempoh masa yang singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah Sarawak.
“Fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, MetMalaysia menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada ketika tempoh berkenaan dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca dikeluarkan pihaknya.
Orang ramai boleh menyemak kemaskini itu melalui laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta aplikasi myCuaca atau boleh juga menghubungi hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut.
Dalam pada itu, Pokok Sena, Pendang dan Baling di Kedah kekal dengan status cuaca panas Tahap 2 (gelombang haba) manakala Kuala Lumpur berada di bawah suhu 35 darjah Celsius, setakat 6 pagi semalam.
Terdapat 16 kawasan di Semenanjung berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) iaitu Perlis, Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah.
Kawasan lain adalah Timur Laut dan Utara di Pulau Pinang, Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut serta Raub (Pahang).
Tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian yang berada antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut, bagi tahap berjaga-jaga pula suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
© New Straits Times Press (M) Bhd



